Ribut tropika Senyar bawa hujan lebat, angin kencang hingga Sabtu

Ribut tropika Senyar bawa hujan lebat, angin kencang hingga Sabtu

MetMalaysia keluaran amaran Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri barat dan tengah Semenanjung dijangka terima kesan ribut itu.

ribut angin hujan
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata ribut tropika Senyar berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan di utara Sumatera yang berada kira-kira 102km ke barat daya Lumut, Perak dan sedang bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.

Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini hingga Sabtu.

“MetMalaysia mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 Nov 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika itu dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa.

Amaran hujan berterusan (buruk) yang dijangka berterusan hingga Sabtu, melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan untuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran. Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor (Tangkak dan Segamat).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca, serta media sosial rasmi MetMalaysia. Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui hotline 1-300-22-1638.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.