Operasi kilang dihenti susulan pencemaran sungai di Perlis

Operasi kilang dihenti susulan pencemaran sungai di Perlis

Persatuan pencinta alam menyatakan pencemaran di sungai itu adalah insiden berulang dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa buangan cecair.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis sudah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang susulan pencemaran Sungai Ngulang, di Padang Besar, kata pengarahnya, Mohamad Fitri Said. (Gambar Facebook)
PADANG BESAR:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis bertindak menghentikan operasi sebuah kilang susulan pencemaran Sungai Ngulang, di sini, yang menyebabkan ratusan ikan ditemukan mati terapung, baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohamad Fitri Said berkata, kertas siasatan turut dibuka untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak industri supaya sentiasa mematuhi langkah kawalan yang ditetapkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi menjaga kelestarian alam dan sungai di negeri itu.

“Kita sudah ambil tindakan penahanan operasi (kilang) berhampiran kawasan itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden pencemaran di Sungai Ngulang itu.

Beliau berkata, sekiranya pihak kilang didapati melanggar AKAS 1974, tindakan boleh diambil yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 dan penjara hingga lima tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Ahmad Ismail, pula berkata pencemaran di sungai itu merupakan insiden berulang dan dipercayai berlaku disebabkan pelepasan efluen (sisa buangan cecair) dari kawasan perindustrian berhampiran.

Ahmad berkata, sehubungan itu, JAS bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu pencemaran sungai dan memastikan Indeks Kualiti Air (WQI) berada dalam kategori kelas satu.

“Kita tidak menghalang operasi kilang industri, namun pihak terlibat seharusnya mematuhi kriteria ditetapkan oleh pihak berkuasa agar pelepasan efluen lebih terkawal dalam memelihara sungai di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kedai makan di Kampung Ngulang Norma Said, 60, berharap isu pencemaran sungai dapat diselesaikan segera kerana orang ramai semakin bimbang terhadap pencemaran yang berlaku di kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti memancing itu.

“Sewaktu pencemaran, air sungai ini bertukar kehitaman dan tidak jernih seperti kebiasaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.