Pengguna terjejas pencemaran Sg Johor diberi rebat 15%

Pengguna terjejas pencemaran Sg Johor diberi rebat 15%

Rebat 15% bagi bil air Oktober bagi meringankan beban dan menghargai kesabaran rakyat terjejas.

onn
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata diskaun itu merangkumi pengguna domestik dan bukan domestik, termasuk rumah kediaman, ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seramai 292,158 akaun pengguna terjejas dengan pencemaran Sungai Johor diberikan rebat 15%bagi bil air bulan lalu.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata diskaun itu merangkumi pengguna domestik dan bukan domestik, termasuk rumah kediaman, ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan.

Menurutnya, bantuan itu bagi meringankan beban dan menghargai kesabaran rakyat terkesan.

“Saya menyedari bantuan ini mungkin tidak setimpal kesusahan dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memohon maaf kepada rakyat atas kejadian itu, yang disifatkan bukan perkara kecil kerana menjejaskan kelangsungan hidup dan mengganggu aktiviti keluarga, operasi sekolah, hospital serta premis perniagaan.

“Kerajaan negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut.”

Justeru, katanya, kerajaan negeri akan memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan bagi mengelakkan insiden seumpama itu tidak berulang.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, walaupun bekalan air pulih sepenuhnya 9 malam tadi, pasukan lapangan Ranhill SAJ masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh di beberapa lokasi bagi memastikan kestabilan tekanan dan aliran bekalan air.

Menurutnya, tumpuan utama ialah penyelesaian isu ‘airlock’, tekanan rendah serta bekalan tidak stabil bagi memastikan bekalan air diterima rakyat benar-benar stabil dan berkualiti tinggi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan, termasuk Ranhill SAJ bekerja tanpa henti serta rakyat yang menunjukkan tahap kesabaran, kerjasama dan semangat kebersamaan tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, dilaporkan berkata 292,158 akaun pengguna atau hampir 1.168 juta penduduk di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai terjejas.

Pencemaran Jumaat lalu itu berpunca daripada kolam cucian pasir pecah di kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi, menyebabkan operasi empat loji rawatan air terpaksa dihentikan secara berperingkat.

Pencemaran itu turut menjejaskan mata pencarian lebih 150 nelayan, termasuk komuniti Orang Asli di sepanjang hulu Sungai Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.