Gangguan bekalan air: Penduduk JB mandi di masjid, tadah air hujan

Gangguan bekalan air: Penduduk JB mandi di masjid, tadah air hujan

Gangguan berpunca daripada pencemaran Sungai Johor selepas sebuah kolam cucian pasir pecah di kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi.

petugas Ranhill SAJ
Seorang penduduk menadah air yang diterima daripada pekerja Ranhill SAJ hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Gangguan bekalan air susulan pencemaran Sungai Johor menyebabkan sesetengah penduduk di beberapa kawasan di bandar ini terpaksa mandi di masjid selain menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Penduduk Taman Nora, Sarifah Asari, 40, berkata hujan lebat sekitar 4 petang tadi menjadi ‘penyelamat’ memandangkan kebanyakan penduduk tidak sempat menyimpan air bersih berikutan notis gangguan bekalan diterima agak lambat.

“Saya guna air hujan untuk mandi dan ambil wuduk, kalau untuk minum, saya beli air mineral di kedai,” katanya yang tinggal sendirian ketika ditemui Bernama.

Sarifah yang menetap di taman itu sejak 18 tahun lalu berkata gangguan bekalan air berlaku sejak semalam iaitu sekitar 1 tengah hari.

“Setakat ini tiada bekalan air dibawa masuk Ranhill SAJ, namun saya difahamkan pengerusi persatuan penduduk atau surau berdekatan akan memohon bantuan air jika gangguan berlarutan sehingga esok,” katanya.

Haziqah Hadman, 35, yang juga penduduk Taman Nora berkata dia sempat menadah dua baldi air hujan petang ini untuk kegunaan rumah.

“Air hujan ini sama juga, saya guna untuk mandi dan basuh pinggan sahaja. Hendak pergi ke rumah keluarga yang lain, mereka pun terjejas, jadi selagi ada sumber air kita gunakan,” kata ibu kepada dua anak itu.

Sementara itu, Syobiraah Mat Saad, 43, yang tinggal di Jalan Ungu, Taman Pelangi berkata dia sekeluarga terpaksa mandi di sebuah masjid pagi tadi selepas bekalan air terputus sekitar 4 petang semalam.

Ibu kepada empat anak itu bagaimanapun berkata pihak Ranhill SAJ telah menghantar bekalan air bersih kepada penduduk sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Mohamad Asrul Sobri, 43, yang tinggal di Jalan Kuning, Taman Pelangi pula menggesa pihak Ranhill SAJ agar lebih proaktif menghantar bekalan air kepada penduduk bagi memastikan tiada kawasan yang terlepas daripada bantuan.

Setakat 6 petang tadi, bekalan air di Taman Nora dan Taman Pelangi masih belum pulih.

Seramai 455,757 pemegang akaun atau hampir 1.8 penduduk di Johor terjejas secara berperingkat akibat pencemaran yang berlaku pada Jumaat.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata setakat ini sebanyak 54% daripada pemegang akaun itu telah kembali menerima bekalan air.

Pencemaran berpunca daripada sebuah kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.