Menteri nafi Ahli Parlimen Tuaran dilantik pengerusi Perbadanan Labuan

Menteri nafi Ahli Parlimen Tuaran dilantik pengerusi Perbadanan Labuan

Jawatan pengerusi Perbadanan Labuan kosong susulan tamat tempoh perkhidmatan bekas Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman bulan lalu.

tangau
Khabar angin konon Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Labuan tidak benar. (Gambar Facebook)
LABUAN:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menafikan khabar angin bahawa Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Labuan (PL).

Beliau menjelaskan, tiada sebarang pelantikan dibuat setakat ini, dan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan masih dalam proses menilai beberapa calon berkelayakan untuk mengisi jawatan kepimpinan di pihak berkuasa tempatan Labuan itu.

“Khabar angin dan spekulasi tular mengenai Ahli Parlimen Tuaran akan memegang jawatan tersebut adalah tidak benar. Beberapa individu berpotensi sedang dinilai secara teliti untuk jawatan Pengerusi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Zaliha menegaskan, kerajaan komited dalam mengenal pasti calon paling sesuai yang mampu berkhidmat demi kepentingan pembangunan sosioekonomi Labuan.

“Kami benar-benar memberi perhatian terhadap pemilihan calon terbaik untuk menerajui Perbadanan Labuan, iaitu seseorang yang berkeupayaan memacu pertumbuhan pulau ini dan memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas dan spekulasi yang boleh mengelirukan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk Labuan.

Jawatan Pengerusi PL kini kosong susulan tamat tempoh perkhidmatan bekas Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.