
Ketua Penerangan Joniston Bangkuai berkata spekulasi sedemikian cubaan untuk menimbulkan kekeliruan dan melemahkan perpaduan dalam GRS menjelang PRN.
Adun Kiulu itu berkata khabar angin yang diulang-ulang itu bertujuan untuk meresahkan penyokong, dan mengganggu kestabilan politik yang dipupuk GRS melalui kerjasama yang terjalin antara parti komponen.
“Isu PBS keluar langsung tidak disebut dalam mesyuarat majlis tertinggi kami baru-baru ini,” menurut kenyataan.
“Malah, pemangku presiden kami, Joachim Gunsalam, mengesahkan komitmen PBS untuk memperkukuh GRS sebagai gabungan tempatan yang mengekalkan hubungan kerja yang baik dan saling menghormati dengan kerajaan persekutuan.”
Joniston berkata pendirian parti itu sentiasa dipandu oleh kepercayaan bahawa perpaduan dalam kalangan parti tempatan adalah penting untuk memastikan kestabilan politik jangka panjang dan menjaga kepentingan Sabah.
Beliau menekankan PBS sentiasa mengambil berat tentang sentimen di akar umbi, dengan peringatan bahawa perubahan arah politik yang kerap adalah tidak sihat kerana boleh membawa kepada ketidakstabilan, yang akan memudaratkan kemajuan Sabah.
“Kita tidak mampu untuk berpecah-belah kerana hanya pihak lain yang untung apabila kita berpecah-belah.
“Kami mengiktiraf dinamik landskap politik Sabah, dan keputusan kami harus berlandaskan realiti. PBS komited untuk memastikan GRS berkembang menjadi kuasa politik yang dominan di Sabah, sama seperti Gabungan Parti Sarawak di Sarawak,” tambahnya.
Minggu lalu, dilaporkan PBS menilai semula hala tuju politik berikutan keputusan STAR keluar GRS. Ini selepas mesyuarat tertutup antara ahli majlis tertinggi PBS dan penasihat, Joseph Pairin Kitingan.
Pairin, abang kepada presiden STAR, Jeffrey Kitingan, dilaporkan menggesa PBS untuk kekal bersatu dan mempertimbangkan untuk berunding semula dengan STAR bagi mengukuhkan suara politik Sabah.
PBS menandatangani memorandum persefahaman dengan STAR pada 2024 tetapi Joachim berkata ia ditangguhkan berikutan keluarnya STAR dari GRS.