Spekulasi letak jawatan ketua PN Selangor ‘tak benar’, kata Azmin

Spekulasi letak jawatan ketua PN Selangor ‘tak benar’, kata Azmin

Desas-desus timbul susulan dakwaan beliau hantar mesej kepada Adun PN Selangor nyata hasrat berundur mulai 1 Okt.

mohamed azmin ali
Azmin Ali berkata, beliau bersyukur dapat berkhidmat di Selangor kerana kerjasama dan ikatan antara Bersatu dan PAS di negeri itu amat mantap.
PETALING JAYA:
Adun Hulu Klang Azmin Ali menafikan desas-desus beliau berhasrat meletak jawatan selaku ketua pembangkang Selangor.

Spekulasi peletakan jawatan Azmin itu tercetus susulan dakwaan beliau menghantar mesej WhatsApp lewat malam tadi kepada sekumpulan Adun Perikatan Nasional (PN) Selangor, memaklumkan hasratnya untuk berundur berkuat kuasa 1 Okt.

Mesej itu didakwa menggesa 21 Adun PN lain supaya berbincang untuk melantik ketua pembangkang baharu menjelang sidang DUN akan datang.

Utusan Malaysia melaporkan, mesej itu dipadam selepas beberapa Adun PN memberi reaksi, termasuk wakil PAS Paya Jaras Halim Tamuri yang meminta perkara itu dibincangkan lebih lanjut.

Turut dilaporkan bahawa satu mesyuarat tergempar diadakan malam ini untuk membincangkan perkara itu.

Azmin memberitahu FMT: “Tidak benar. Hentikan khabar angin.

“Saya sentiasa optimistik. Kita usaha sedaya upaya. Rakyat mesti dibantu.”

Azmin juga berkata, beliau bersyukur dapat berkhidmat di Selangor kerana kerjasama dan ikatan antara Bersatu dan PAS di negeri itu amat mantap.

“Kami akan berusaha sedaya upaya kami,” tambah setiausaha agung Bersatu itu.

PN kini menguasai 22 daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Pada Jun lepas, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berkata, PN mampu menawan kerajaan negeri dengan memenangi 10 lagi kerusi pada PRN akan datang.

Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dilihat hilang penguasaan kepada PN pada PRN Ogos 2023, apabila hanya menang 34 kerusi, dengan 32 daripadanya oleh PH, berbanding PRN 2018 yang menyaksikan PH menang 51 daripada 56 kerusi.

Pada PRN tersebut, BN menang empat kerusi manakala PAS menang satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.