
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh berkata, selagi pembiayaan politik tidak diselaraskan, undang-undang anti-lompat parti yang begitu dinanti-nantikan itu hanya akan “merawat gejala dan bukan punca” di sebalik amalan melompat parti.
“Satu sebab asas diberikan ahli politik sebagai alasan bertukar parti adalah untuk mendapat lebih banyak dana bagi membangunkan kawasan mereka,” kata Yeoh dalam sidang media mengenai undang-undang anti-lompat parti berkenaan.
Spekulasi sebelum ini antara lain menganggap ahli politik bertukar parti kerana telah “dibeli” atau diancam dengan tindakan undang-undang atau gangguan oleh agensi penguatkuasaan.

Yeoh berkata, pemberian dana sewajarnya kepada kawasan pengundian oleh kerajaan negeri mampu mengekang perbuatan melompat parti atas alasan mahu membantu kawasan mereka.
Katanya, sekiranya sejumlah peruntukan asas diberikan kepada wakil rakyat khususnya dari pembangkang bagi melaksanakan operasi masing-masing, ini juga akan membantu menghalang mereka terjebak dalam hubungan mencurigakan dengan sektor swasta.
Philip Koh, profesor adjung di Universiti Malaya berkata, undang-undang korporat secara umumnya melarang syarikat daripada memberi derma politik.
“Di bawah Akta Syarikat, entiti korporat hanya boleh memberi sumbangan untuk ‘tujuan patriotik’ yang tidak merangkumi membiayai parti politik,” katanya.
Pada April, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata rang undang-undang anti-lompat parti akan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen sebelum akhir Mei.
Katanya, keputusan itu dicapai susulan perbincangan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Penggubalan undang-undang anti-lompat parti antara syarat utama yang membawa kepada persefahaman politik antara kerajaan pimpinan Ismail dan blok pembangkang.
Jawatankuasa pilihan Parlimen dwipartisan sedang merangka undang-undang berkenaan. Sesi Parlimen khas juga akan diadakan untuk membincangkannya serta sebarang pindaan yang perlu dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan.