Ketelusan yang semakin hilang

Ketelusan yang semakin hilang

Ketelusan bukan ancaman kepada maruah tetapi jalan untuk memperkukuh kepercayaan.

harimau malaya

Pada hujung September, dunia bola sepak tempatan digegarkan dengan berita Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menjatuhkan hukuman denda kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan hukuman penggantungan serta denda kepada tujuh pemain warisan negara susulan isu pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan pemain tersebut bermain mewakili Malaysia.

Sehingga artikel ini ditulis, dua sidang media telah diadakan, masing-masing oleh FAM dan Tunku Mahkota Johor (TMJ). Beberapa persoalan dibangkitkan kepada menteri dalam negeri di Parlimen, yang telah pun dijawab oleh beliau. Kini, peminat bola sepak seluruh negara sedang menantikan keputusan rayuan FAM yang dikemukakan kepada Fifa pada Oktober. Malangnya, sidang media dan soal jawab di Parlimen tersebut tidak berjaya menjawab segala pertanyaan berbangkit sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan, malah pihak terlibat seolah-olah cuba melepas diri dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Pada awal September juga, jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou menyuarakan ketidakpuasan hatinya melalui media sosial berikutan ganjaran memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijanjikan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih belum diterimanya meskipun setahun sudah berlalu. MPM memberikan respons kelewatan itu disebabkan masalah penajaan, malah turut mengancam untuk menggantung pemenang dua pingat emas badminton Paralimpik itu.

Permasalahan sama yang mengikat dua isu sukan ini ialah ketelusan, komunikasi dan kebertanggungjawaban. Dalam kes kewarganegaraan pemain bola sepak warisan, ramai peminat sukan menyambut baik kemasukan pemain warisan kerana ia memberi nilai daya saing tambahan kepada skuad kebangsaan, tetapi proses kelulusan dan pemilihan mereka sering kelihatan tidak konsisten kerana maklumat susur galur keluarga mereka tidak didedahkan kepada umum, tidak sebagaimana dilakukan negara jiran Indonesia. Turut menimbulkan tanda tanya adalah mengapa seolah-olah pemain bola sepak mendapat keistimewaan memperoleh kewarganegaraan dengan begitu pantas tetapi ribuan lagi permohonan kewarganegaraan oleh rakyat kebanyakan mengambil masa bertahun-tahun, malah ada yang terpaksa menggunakan saluran mahkamah demi mendapatkan sekeping kad berwarna biru.

IDEAS

Kontroversi mengenai ganjaran kepada Cheah Liek Hou pula menimbulkan persoalan sama ada sistem penghargaan atlet benar-benar telus dan adil. Ketika rakyat meraikan kejayaan atlet yang mengharumkan nama negara, perasaan kecewa timbul apabila laporan menunjukkan wujud kekeliruan tentang jumlah ganjaran, kaedah penyaluran, dan siapa sebenarnya yang layak menerimanya. Lebih menyedihkan, tiadanya hitam putih yang memperincikan segala butiran berkaitan ganjaran ini secara jelas. Bayangkan, jika begini layanan yang diterima oleh pemenang pingat emas Paralimpik, entah layanan bagaimana pula diterima oleh atlet negara yang memenangi pertandingan peringkat yang lebih rendah atau mewakili negara dalam sukan yang kurang popular.

Kita juga tidak lupa dengan isu Aman Palestin yang membuka lembaran baharu tentang pengurusan dana kebajikan dan keagamaan. Skandal ini mengingatkan kita bahawa rasa percaya masyarakat terhadap organisasi amal dan keagamaan boleh mudah runtuh apabila audit, laporan tahunan dan mekanisme pengawasan tidak dijalankan secara terbuka. Ramai penderma memberi sumbangan dengan niat ikhlas, tetapi keikhlasan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak ketelusan. Setiap sen yang disumbangkan atas nama agama, kebajikan atau perjuangan kemanusiaan wajar dipertanggungjawabkan melalui audit bebas, laporan terbuka, dan pemantauan pihak berkuasa yang berwibawa.

Begitu juga dengan pengurusan dana wakaf dan institusi keagamaan. Potensi ekonomi wakaf di Malaysia sangat besar, namun pengurusannya sering diselubungi kekeliruan. Sebahagian institusi keagamaan pula tidak membenarkan audit dijalankan ke atas mereka, lantas menimbulkan pelbagai tanda tanya terhadap ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban mereka. Ketelusan dalam sektor keagamaan tidak boleh dianggap sensitif atau tabu, bahkan ia adalah keperluan moral untuk memastikan amanah umat tidak disalahgunakan.

Masalah asas kepada semua isu ini ialah budaya keterbatasan maklumat dan ketiadaan semak imbang yang berkesan. Sama ada dalam sukan, kebajikan atau keagamaan, keputusan sering dibuat di bilik mesyuarat tertutup tanpa mekanisme pelaporan yang jelas kepada awam. Ini bukan semata-mata soal undang-undang, tetapi soal kepercayaan. Dalam era digital di mana maklumat boleh diakses dengan mudah, ketertutupan hanya menimbulkan syak wasangka dan menjejaskan reputasi institusi.

Untuk melangkah ke hadapan, Malaysia perlu memperkukuh ekosistem ketelusan yang menyeluruh, bukan sekadar di peringkat kerajaan. Pertama, perlu ada dasar pendedahan maklumat (freedom of information) yang benar-benar berfungsi di peringkat persekutuan dan negeri. Kedua, organisasi masyarakat sivil dan media mesti dilihat sebagai rakan semak dan imbang, bukannya musuh. Ketiga, institusi awam dan swasta perlu berani menerbitkan laporan tahunan mereka dengan angka sebenar – walaupun kecil atau tidak sempurna.

Ketelusan bukan ancaman kepada maruah, tetapi jalan untuk memperkukuh kepercayaan. Dalam konteks sukan, ia memastikan atlet dihargai secara adil. Dalam kebajikan dan keagamaan, ia menjamin setiap derma dimanfaatkan dengan amanah. Dan dalam masyarakat secara keseluruhan, ia melahirkan keyakinan bahawa negara ini ditadbir bukan dengan slogan, tetapi dengan integriti.

Selagi kita enggan menjadikan ketelusan sebagai budaya nasional, isu seperti ganjaran atlet, dana kebajikan yang hilang, projek wakaf terbengkalai dan pemilihan pemain bola warisan akan terus berulang dengan wajah berbeza. Malaysia tidak kekurangan undang-undang atau dasar, tetapi keberanian untuk membuka pintu dan membiarkan maklumat dan kebenaran boleh diakses orang awam.

Akhirnya, semangat Malaysia Madani yang dilaungkan kerajaan – berteraskan nilai kepercayaan, ihsan, dan kesejahteraan – hanya akan bermakna jika diterjemahkan melalui budaya ketelusan yang tulen. Madani menuntut setiap lapisan masyarakat, daripada pemimpin politik hingga ke pentadbir institusi sukan, agama dan kebajikan, menjunjung nilai amanah dan kebertanggungjawaban. Tanpa ketelusan, falsafah ini tinggal sebagai retorik. Tetapi dengan ketelusan, ia boleh menjadi asas kepada pembinaan semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara. Malaysia tidak akan maju hanya dengan pembangunan fizikal semata-mata. Negara ini akan maju apabila rakyat percaya bahawa setiap keputusan dibuat dengan jujur, setiap sen dibelanjakan dengan amanah, dan setiap kejayaan dicapai dengan maruah.

 

Penulis ialah eksekutif kanan, advokasi dan program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.