
Beliau terpesona dengan lengkungan tulisan Arab ketika guru khatnya, Ustaz Fallah Lai, melakukan demonstrasi di papan hitam, menukar bentuk huruf mudah kepada imej grafik.
“Beliau orang pertama yang menarik perhatian saya (kepada khat) menyebabkan saya jatuh cinta dengan seni itu,” katanya kepada FMT mengimbau saat beliau mula mengenali seni khat.
Katanya, Ustaz Fallah, mualaf Cina, jauh lebih mahir dalam seni khat berbanding individu yang mengamalkannya sejak kecil lagi.

Cintanya terhadap seni khat, yang terbentuk ketika belajar di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lilbanin di Kota Bharu, terus berkembang walaupun ketika menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas menamatkan persekolahannya.
Dua puluh lima tahun kemudian, leftenan komander dalam TLDM itu masih mencintai seni khat dan memiliki kemahiran tersendiri.
Karya seni khatnya pernah menyertai pameran di dalam dan luar negara, dengan beberapa karyanya dipersembahkan kepada sultan, pegawai berpangkat tinggi dan selebriti.
Antaranya Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada 1970-an dan 2010-an, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang serta penyanyi Awie (Ahmad Azhar Othman).

Beliau turut mewakili Malaysia dalam pameran seni Malaysia-China yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, selain menerima tempahan dari luar negara. Peminat karyanya terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam.
“Walaupun ramai yang mengenali khat sebagai satu bentuk seni Arab, sebenarnya terdapat kira-kira 100 jenis khat berbeza. Ia bukan sahaja unik dan menarik untuk dilihat, tetapi mampu menarik minat orang bukan Islam mempelajari dan mengamalkan seni itu.”

Thahar juga terkenal menggabungkan khat dengan lukisan abstrak, dalam gaya yang dibangunkan pada era pasca kolonial yang menggabungkan kaligrafi dengan bentuk seni kontemporari.
Katanya, beliau gembira kerana karyanya dapat membantu mempromosikan seni Islam dan agama kepada dunia.