
Kamarudin Mohd Hussain, dahulunya aktivis Gabungan Teksi SeMalaysia dan kini Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia, mendakwa SPAD telah “menzalimi” ratusan ribu pemandu teksi dan kereta sewa dan “menghancurkan” industri itu.
Katanya, pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa terjejas kerana SPAD mewujudkan peraturan berbeza antara teksi dan e-panggilan, meskipun kedua-duanya menjalankan aktiviti yang sama.
Beliau yang lantang mendesak pembubaran SPAD sebelum ini mendakwa peraturan yang diwujudkan suruhanjaya itu memberi “kuasa penuh” kepada syarikat mengaut keuntungan atas “penderitaan” pemandu.
“Selama SPAD berkuasa, mereka menguatkuasa undang-undang tanpa perikemanusiaan, malah kompaun-kompaun yang dikenakan juga terlalu tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjawab seruan bekas ketua dasar dan perancangan SPAD, Wan Agyl Wan Hassan, yang menggesa SPAD dikembalikan bagi membantu kerajaan menangani inovasi dalam pengangkutan awam dan mobiliti peribadi.
Ia susulan langkah kerajaan melarang penggunaan kenderaan mikromobiliti iaitu moped, alat mobiliti peribadi (personal mobility device atau PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam, serta alat bantuan mobiliti peribadi (personal mobility aid atau PMA).
“Walaupun kami tidak bergembira dengan keangkuhan menteri pengangkutan di zaman Pakatan Harapan, namun kami bersyukur dan berterima kasih kepada PH kerana telah membubarkan SPAD,” kata Kamarudin.
SPAD ditubuhkan pada Jun 2010 dan kemudian dibubarkan oleh pentadbiran PH. Ia digantikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).