Kesatuan bantah rancangan pindah ibu pejabat KTMB dari bangunan ikonik

Kesatuan bantah rancangan pindah ibu pejabat KTMB dari bangunan ikonik

Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu berkata Perbadanan Aset Keretapi didakwa mahu pindah 478 kakitangan ke premis sewaan di Brickfields.

Ibu pejabat ikonik KTMB adalah bangunan warisan terletak di lokasi utama bersebelahan Hotel Majestic di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama) 
KUALA LUMPUR:
Khabar angin pemindahan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari bangunan ikonik berusia 121 tahun di Jalan Sultan Hishamuddin muncul semula sekali gus mencetuskan bantahan keras Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM).

Walaupun kerajaan menafikan rancangan sedemikian dua tahun lalu, satu sumber menyatakan Perbadanan Aset Keretapi (RAC)—entiti kerajaan yang memiliki bangunan itu—baru-baru ini memaklumkan pihak pengurusan KTMB mengenai niatnya memindahkan ibu pejabat.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, menafikan adanya rancangan memaksa KTMB berpindah. Beliau menyatakan hanya satu tawaran dibuat untuk berpindah secara percuma ke Menara RAC, yang dibina pada 2023, di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields.

Beliau turut menafikan khabar angin YTL Corporation, yang memiliki Hotel Majestic Kuala Lumpur bersebelahan ibu pejabat tersebut, merancang mengambil alih dan membangunkan semula bangunan terbabit kepada hotel mewah.

Loke berkata, bangunan itu akan dipelihara sebagai bangunan warisan di bawah hak milik kerajaan melalui RAC.

Rancangan memindahkan ibu pejabat dari bangunan sedia ada kali pertama diumumkan pada 2010, namun terbantut selepas mendapat bantahan RUM.

Bagaimanapun, spekulasi terus bertiup kencang dengan beberapa syarikat swasta sedang mengintai bangunan mercu tanda terkenal Kuala Lumpur yang dibina pada awal abad ke-20 — untuk dibangunkan semula menjadi hotel mewah.

Sumber tersebut menyatakan, RAC mahu ibu pejabat itu dipindahkan ke tingkat 16 hingga 20 serta tingkat 33 di Bangunan TNB Dua Sentral. Difahamkan, pelan ruang kerja bagi premis dicadangkan telah pun dikemukakan kepada KTMB untuk pertimbangan.

“RAC menyatakan walaupun hanya 478 kakitangan akan ditempatkan di enam tingkat tersebut, terdapat ruang yang mencukupi untuk 515 pekerja. Mereka mahukan pengesahan rasmi daripada KTMB untuk meneruskan rancangan berkenaan dan menetapkan tarikh akhir,” kata sumber itu.

Presiden RUM, Faizal Shahibul Kiraya, yang mengesahkan mendengar mengenai rancangan tersebut berkata, langkah itu tidak boleh diterima kerana bangunan ibu pejabat bukan sahaja merupakan mercu tanda negara, malah sebahagian identiti KTMB.

“Langkah itu seolah-olah menghalau pemilik keluar dan memaksa mereka masuk ke premis sewaan. Kebanyakan kakitangan telah suarakan rasa tidak puas hati dan bantahan mereka kepada kami.”

“Kami menggesa RAC untuk melindungi status warisan bangunan tersebut dan mengekalkan KTMB sebagai penghuni asalnya,” katanya kepada FMT.

Faizal berkata, jika RAC meneruskan rancangan sedemikian, kesatuan tidak teragak-agak mengambil tindakan perusahaan demi melindungi bangunan warisan berkenaan.

Beliau berkata, RUM akan menghantar surat bantahan terhadap langkah pemindahan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Loke, serta semua menteri.

FMT sudah menghubungi KTMB dan RAC untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.