Pembangkang bantah usul gantung Takiyuddin

Pembangkang bantah usul gantung Takiyuddin

Beberapa Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin tidak setuju usul dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.

Ahli Parlimen pembangkang membantah usul dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah untuk menggantung Takiyuddin Hassan selama enam bulan.
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat kecoh apabila wakil rakyat pembangkang membantah pembentangan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan selama enam bulan atas kenyataan mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan peristiwa Memali.

Beberapa Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin tidak bersetuju dengan usul dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah.

Selain Hamzah, dua lagi Ahli Parlimen pembangkang, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) turut membantah sebelum usul tersebut dibentangkan oleh Shamsul di Dewan Rakyat.

Kiandee yang mula membangkitkan perkara itu mempersoalkan mengapa Takiyuddin tidak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum usul tersebut dibentangkan.

Manakala, Zulkifly pula berkata kerajaan tidak boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk menghukum Ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, Speaker Johari Abdul membenarkan usul itu dibentangkan Shamsul.

Hamzah ketika berbahas, mempertahankan Takiyuddin dan menyatakan tiada mana-mana pihak yang cuba memburukkan APMM.

Katanya, perkara dibangkitkan Takiyuddin bukan mengenai APMM tetapi masalah prosedur.

“Cuba lihat semula hansard yang dikeluarkan. Semua kena baca. Takiyuddin membangkitkannya kerana merasakan tanggungjawabnya.

“Cuba ambil yang positif. ‘Event’ itu sepatutnya dikawal dalam keadaan semua ada kawalan. Maka insiden itu positif.

“Kota Bharu bukan hanya Ahli Parlimen Kota Bharu tetapi setiausaha agung PAS. Masjid Rusila merupakan markas paling besar dan termasyhur. Bila insiden berlaku, dia hanya menanyakan soalan bukan menuduh. Tetapi dikaitkan dengan peristiwa Memali,” katanya.

Usul itu menyatakan, Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa Memali 1985 dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.

Takiyuddin mengeluarkan kenyataan itu ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Okt.

Walaupun polis membuat penjelasan pada 6 dan 13 Okt bahawa insiden tersebut sebahagian latihan dijalankan Pasukan STAR APMM, dan Takiyuddin maklum tentang perkara tersebut, beliau didakwa terus membangkitkannya di Dewan Rakyat.

Kenyataannya didakwa memberi imej negatif terhadap agensi tersebut serta mencemarkan reputasi anggota, dengan ada antara mereka mungkin teraniaya akibat tuduhan tidak berasas itu.

Usul itu selanjutnya menyatakan, dakwaan Takiyuddin ‘seolah-olah menjatuhkan martabat’ pegawai agensi yang melindungi domain maritim Malaysia daripada ancaman seperti penyeludupan, penangkapan ikan secara haram, pengedaran dadah, kegiatan lanun dan pencerobohan asing.

Takiyuddin juga dituduh membuat dakwaan serius dan mengelirukan yang boleh mencetuskan sentimen antikerajaan.

Usul itu mencadangkan supaya Takiyuddin digantung daripada sidang Dewan Rakyat dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.