
Ini berbeza dengan Ramadan di negara kelahirannya, di mana ia lebih berpaksikan keluarga, dengan hidangan dimasak di rumah, berbanding dijual di bazar seperti di Malaysia.
“Di Malaysia, ia seperti satu keraian, terutamanya dengan bazar. Pengalaman yang indah juga dengan rakan-rakan mencari tempat untuk bersahur, selepas berbuka puasa,” katanya kepada FMT.
“Saya nikmati hubungan yang terjalin pada waktu ini, silaturahim bak kata orang Malaysia. Ramadan merapatkan hubungan sesama kita dan masing-masing lebih hormat-menghormati.”
Kulasic berkata, Aidilfitri disambut dengan lebih meriah di Malaysia berbanding di Bosnia, di mana Hari Raya Aidiladha lebih bermakna.
Namun, keluarganya tidak mahu ketinggalan menyambut Aidilfitri, mereka turut merancang menghadiri rumah terbuka untuk menikmati rendang dan lemang.
Kulasic, yang dipanggil Rukie oleh rakan-rakannya, adalah salah seorang warga Bosnia yang datang ke Malaysia sebagai pelarian semasa konflik etnik dan perang kemerdekaan apabila Yugoslavia tumbang sekitar 1990-an.
Bosnia-Herzegovina, sebuah negara orang Islam Bosnia, atau Bosniak, menderita akibat kempen pembunuhan beramai-ramai “pembersihan etnik”, sebahagian besarnya oleh Serbia dan angkatan tentera bekas Yugoslavia.
Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, memperjuangkan nasib umat Islam Bosnia, dengan Timbalannya ketika itu, Anwar Ibrahim memainkan peranan yang sama penting, menyediakan tempat perlindungan selamat kepada ratusan keluarga Bosnia.
Mengimbau konflik dan keputusan keluarganya menetap di Asia Tenggara, Kulasic berkata, mereka berasa lebih selamat di Malaysia kerana majoriti penduduknya beragama Islam dan jauh daripada peperangan.
“Kami rasa kami akan lebih diterima di sini,” katanya sambil menambah tiada sebab untuk keluarganya kembali ke tanah air selepas perang berakhir kerana mereka telah membina kehidupan di Malaysia.
Selepas perang Yugoslavia berakhir, ramai warga Bosnia pulang ke tanah air atau berpindah ke bahagian lain di Eropah, atau ke Australia dan Amerika Syarikat, namun sebilangan kecil kekal di Malaysia.
Kulasic berkata, kira-kira 50 warga Bosnia kini berada di Malaysia, dan walaupun mereka tersebar di seluruh negara, mereka cuba berhimpun sekerap mungkin, terutamanya pada Ramadan.
Katanya, keluarganya yang termasuk bapa dan abangnya, cuba mengekalkan sebanyak mungkin budaya mereka dengan menggunakan bahasa ibunda dan memasak makanan Bosnia di rumah.
Bagaimanapun, selepas 30 tahun di sini, beliau bergelut sedikit dengan identitinya. Beliau memegang pasport Bosnia dan status penduduk tetap Malaysia.
“Saya dilahirkan di Bosnia dan keluarga saya berasal dari sana, tetapi secara dalamannya, saya 100% rakyat Malaysia. Saya dibesarkan di sini, bercakap bahasa sini dan sudah biasa dengan budayanya.”
Beliau berkata, mereka akan meraikan Aidilfitri bersama “keluarga Malaysia yang lebih besar”.
Kulasic, yang menggemari Langkawi dan sambal belacan, tidak berhasrat meninggalkan Malaysia dalam masa terdekat dan tidak sabar melawat Pulau Pinang dan Melaka selepas Ramadan.
“Saya menikmati Malaysia seadanya,” katanya sambil tersenyum.