
Jurucakap polis Johor berkata, menurut statistik terkumpul sehingga hari ketiga, sebanyak 727 kes kemalangan dicatatkan secara keseluruhan.
Enam kes kemalangan maut yang dilaporkan termasuk dua kes di Johor Bahru Selatan, dua kes di Kota Tinggi dan masing-masing satu kes di daerah Segamat dan Kluang.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor mengeluarkan 7,249 saman bagi kategori enam kesalahan yang utama.
“Ia termasuk memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, potong barisan, langgar isyarat lampu isyarat dan kesalahan menggunakan alat telekomunikasi,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Selain itu, lokasi panas di mana kerapnya berlaku kemalangan dikenal pasti dan penguatkuasaan dan advokasi dirancang bagi mengurangkan kadar kemalangan, khususnya kemalangan maut, tambahnya.
“Info semasa di semua daerah di Johor mendapati aliran trafik masih lagi lancar dan terkawal, tiada lokasi yang berlaku kesesakan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, polis Johor akan terus fokus dan komited dengan pelaksanaan Op Selamat 18 dalam memastikan kelancaran aliran trafik dan membendung kes jenayah, khususnya jenayah pecah rumah menerusi Kempen Rumah Selamat.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, terutamanya yang memandu untuk pulang ke kampung atau bercuti, untuk terus berhemah ketika berada di atas jalan raya.
“(Juga) kawal emosi dan tidak membuat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.