Tak logik penternak boleh rugi jika wujud kartel, kata persatuan

Tak logik penternak boleh rugi jika wujud kartel, kata persatuan

Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mendakwa 40 ladang tidak akan tutup jika wujud kartel.

Penternak ayam di negara ini berdepan kos operasi tinggi memandangkan harga makanan ayam melambung susulan perang Rusia-Ukraine yang menjejaskan eksport bahan mentah dalam pembuatan dedak ayam. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dakwaan wujudnya kartel dalam industri penternakan ayam tidak logik jika mengambil kira kerugian ditanggung penternak, selain penutupan lebih 40 ladang, kata Penasihat Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng.

Katanya, dakwaan berhubung kewujudan kartel itu langsung tidak berasas dan tidak adil sama sekali kepada golongan penternak.

Beliau berkata, penternak tidak akan menanggung kerugian sekiranya wujud kartel seperti yang didakwa itu.

“Industri ayam ini kalau ada kartel kenapa kita rugi? Itu satu persoalan yang saya tanya. Sepatutnya kalau ada kartel semua mesti untung.

“Cakap (wujud) kartel itu tak logik. Fakta apa yang diambil bahawa industri ini ada kartel? Ini menimbulkan satu isu yang tak menyenangkan hati, terutamanya penternak.

“Sudah lebih 40 ladang (ayam) tutup, sepatutnya orang tak akan tutup ladang kalau ada kartel,” katanya menurut laporan Utusan.

Mengikut laporan, sebanyak lima kartel didakwa memonopoli sektor penting makanan negara bernilai RM10 bilion setiap tahun itu sejak puluhan tahun lalu.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, perang Rusia-Ukraine mengakibatkan eksport minyak bunga matahari, jagung, kacang soya dan gandum yang digunakan dalam dedak ayam, terjejas.

Katanya, ini kerana kos makanan ternakan ketika ini terutamanya jagung meningkat.

“Perang itu melibatkan Belarus, Ukraine dan Rusia yang menjadi pengeksport terbesar minyak bunga matahari, jagung, kacang soya dan gandum (yang digunakan dalam dedak ayam).

“Tambahan lagi Ukraine, Belarus dan Russia adalah pengeksport makanan ayam kelapan, kesembilan dan kesepuluh terbesar. Apabila ketiga-tiga negara tidak ada eksport, maka kekurangan di peringkat dunia akan terlihat dan menjadi satu impak dalam rantaian makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffery mengakui terdapat bantuan subsidi kerajaan namun banyak penternak berdepan masalah terutama berkaitan dokumentasi bagi mendapatkannya.

“Kira-kira 65% penternak berusia lebih 55 tahun, jadi mereka ini warga emas. Bila panggil buat dokumentasi, kebanyakan mereka kurang upaya untuk sediakan dokumentasi. Banyak penternak mengadu tak dapat subsidi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.