
Ini susulan serangan terbuka Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Saiful Wan Jan terhadap Setiausaha Agung Parti Azmin Ali.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata situasi dalaman parti itu semakin buruk manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat Presiden Muhyiddin Yassin kini dilihat gagal mengawal keadaan.
Syaza berkata Bersatu sudah lama berdepan dengan masalah konflik dalaman, sedangkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sibuk beri tumpuan kepada pentadbiran negara.
“Malah PAS juga nampaknya fokus pada empat negeri yang dipimpinnya,” katanya.
“Di mana Muhyiddin ketika ini? Siapa yang akan tampil sebagai suara rasional dan dihormati untuk menghentikan semua kekecohan ini?
“Ini bukan lagi sekadar masalah berpuak-puak, tetapi seruan terbuka untuk ‘berperang’ antara pemimpin penting dalam Bersatu. Satu-satunya jalan keluar yang saya nampak ialah sama ada Wan Saiful atau Azmin mengalah daripada pertelingkahan terbuka ini,” katanya kepada FMT.

Azmi pula berkata dakwaan Muhyiddin sebelum ini bahawa adanya kempen untuk menyingkirkannya sebagai presiden telah mencetuskan keadaan yang akhirnya berada di luar kawalannya sendiri.
Katanya, ‘projek’ untuk mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan kini semakin mendapat momentum, dan perseteruan itu akan merebak jika tidak ditangani segera.
“Ia sepatutnya ditangani Muhyiddin, tetapi beliau sudah hilang kawalan ke atas Bersatu. Muhyiddin sepatutnya sedar ketika ini beliau sudah hilang kawalan,” kata Azmi.
Katanya, kumpulan bertelagah dalam Bersatu perlu duduk semeja dan berbincang jika tidak mahu menjejaskan imej parti itu dengan lebih teruk.
Semalam, Wan Saiful mendakwa Azmin dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mengugut ketua bahagian yang didakwa terlibat dalam plot menyingkirkan Muhyiddin sebagai presiden parti.
Katanya, usaha mengumpul tandatangan daripada ketua-ketua bahagian bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur, sebaliknya bagi menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam perhimpunan agung tahunan (PAT) pada 9 Sept lalu.
Wan Saiful yang juga bekas ketua penerangan parti itu juga berkata Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi video pada 2019, yang didakwa memaparkan bekas menteri itu melakukan perbuatan homoseksual, masih belum diselesaikan.
Kuatkan desakan PAS untuk pengerusi PN
Syaza berkata konflik terbuka Bersatu hanya menguatkan tuntutan PAS untuk mengambil alih kerusi pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada Muhyiddin dan menamakan pemimpin parti Islam itu sebagai calon perdana menteri bagi PRU akan datang.
Azmin sebelum ini berkata, pada PAT lalu, perwakilan Bersatu sebulat suara menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri parti itu.
“Saya rasa semua ini hanya memberikan PAS lebih banyak alasan untuk menuntut agar parti itu memimpin PN dan menamakan seseorang daripada parti itu sebagai calon perdana menteri PN,” kata Syaza.
“Bersatu nampaknya gagal menyelesaikan masalah dalaman sendiri, jadi bagaimana ia mahu memimpin PN, apatah lagi negara?”
Azmi bersetuju, sambil mengimbas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mahu pemimpin berusia bawah 70 tahun sebagai calon perdana menteri PN – dilihat sebagai secara halus menolak Muhyiddin untuk jawatan itu.
“Saya rasa zaman Muhyiddin sudah hampir berakhir,” katanya.
Syaza berkata sudah tiba masanya Muhyiddin membentangkan pelan peralihan kepimpinan Bersatu kerana jelas kedudukannya tidak lagi kukuh, dengan rasa tidak puas hati yang semakin ketara dan memecahbelahkan parti.
Katanya, satu pelan peralihan yang jelas, beserta tempoh masa, akan memberi jaminan tentang hala tuju jangka panjang Bersatu serta menamatkan pertikaian mengenai akuan bersumpah dan calon perdana menteri.
“Secara asasnya, Muhyiddin perlu menguasai semula naratif, kerana ketika ini, beliau kelihatan seperti watak sampingan dalam partinya sendiri.”