Sarawak tak eksport sumber REE, kata Abang Jo

Sarawak tak eksport sumber REE, kata Abang Jo

REE sumber penting yang berpotensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi negeri, kata premier Sarawak.

Abang Johari Openg berkata, Sarawak tidak akan mengeksport REE kerana ia komponen ekonomi penting untuk bangunkan bahan-bahan berkaitan teknologi. (Gambar Bernama)
SEMATAN:
Sarawak mengambil keputusan untuk tidak mengeksport sumber unsur nadir bumi (REE) dari negeri itu, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata, REE merupakan sumber penting yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi negeri.

“Di bawah kategori REE ini, terdapat beberapa elemen yang sangat strategik. Sebab itu kita lihat China tidak mengeksport unsur nadir bumi mereka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak hari ini.

“Kita di Sarawak memang mempunyai sumber REE, namun kita tidak akan mengeksportnya kerana ia merupakan komponen ekonomi penting untuk membangunkan bahan-bahan berkaitan teknologi.”

Media sebelum ini melaporkan, menurut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi memiliki REE bukan radioaktif dengan anggaran nilai sebanyak RM809.6 bilion, selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak akan membentangkan satu rang undang-undang berkaitan pengurusan sisa buangan pada sidang DUN awal Disember depan.

Katanya, undang-undang itu antara lain bertujuan membolehkan sisa buangan dijadikan sumber ekonomi melalui kitar semula.

“Sisa ini perlu diuruskan dengan baik. Pada masa ini di Sarawak belum ada undang-undang khusus yang membolehkan kita untuk mengutip dan menguruskan sisa.

“Sebenarnya, sisa berpotensi untuk kita dijadikan sumber duit (pendapatan) kepada negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.