
Ketua Pengarah Agensi Anti-dadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon berkata, ini akan membolehkan pihak berkuasa menahan dan merawat penagih ketum kerana ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang ketika ini.
“Kita tidak ada kuasa untuk menahan atau merawat mereka kerana ketum tidak dimasukkan dalam senarai yang memerlukan rawatan (bagi penggunanya). Jadi sekiranya kita mendapati ada yang khayal akibat ketum, kita lepaskan mereka,” katanya kepada FMT.
“Cara terbaik yang kami boleh lakukan ialah dengan memujuk mereka datang secara sukarela untuk mendapatkan rawatan secara percuma.”
Sutekno berkata, undang-undang hanya menyatakan memiliki daun ketum atau air ketum adalah suatu kesalahan kerana ia mengandungi mitragynine yang disenaraikan sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun.
Menurutnya, AADK bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyenaraikan ketum dalam senarai dadah yang mendatangkan ketagihan dan pindaan perlu dilakukan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Katanya, kira-kira 20% daripada setiap 10,000 individu atau klien yang datang mendapatkan rawatan dengan AADK, mengakui ketagihan ketum. AADK mempunyai kira-kira 80,000 klien.
“Mereka mencampur ketum dengan dadah lain untuk meningkatkan rasa ‘khayal’ kerana ketum murah dan mudah diperoleh,” katanya.
Isu ketum mendapat perhatian media baru-baru ini apabila Jemaah Menteri dilaporkan membenarkan penanaman ketum dan hem untuk tujuan perubatan.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotiknya, Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa supaya berhati-hati dengan beberapa faktor perlu dikaji termasuk kos merawat penagih yang tinggi, iaitu kira-kira RM500 juta setahun.
Sutekno berkata, AADK sahaja membelanjakan RM450 juta setahun dan kos rawatan penagih boleh melebihi RM500 juta kerana jumlah itu tidak termasuk rawatan yang disediakan oleh Jabatan Penjara.
Katanya, satu-satunya cara untuk mengurangkan kos rawatan adalah dengan mengurangkan jumlah penagih.