Anjur protes hukuman mati Nagaenthran, 3 wakil LFL dipanggil polis

Anjur protes hukuman mati Nagaenthran, 3 wakil LFL dipanggil polis

Mereka akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada 11 pagi esok.

Lawyers for Liberty mengadakan protes di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura pada Sabtu lalu bagi membantah pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam pada Rabu ini.
PETALING JAYA:
Polis memanggil tiga wakil daripada Lawyers for Liberty (LFL) untuk memberi keterangan berhubung protes anjuran kumpulan itu di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura pada Sabtu lalu.

Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata, ketua penyelaras Zaid Malek bersama sukarelawan Mahajoth Singh dan Nabila Khairuddin dipanggil memberi keterangan berhubung protes terhadap pelaksanaan hukuman mati ke atas warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam di Singapura pada Rabu ini.

“Mereka akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada 11 pagi Selasa.”

Zaid memberitahu FMT, polis tidak menyatakan mereka disiasat mengikut akta mana.

Sebelum ini, LFL dilaporkan berharap protes itu akan mendorong kerajaan Malaysia campur tangan dan membawa Nagaenthran pulang menerusi program pertukaran tahanan antarabangsa untuk menjalani hukumannya di sini.

Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (Adpan) dan Pemuda MIC turut mengadakan perhimpunan di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura pada masa sama dengan 150 peserta bersurai sejam selepas protes bermula 4 petang Sabtu lalu.

Nagaenthran, 34, yang juga orang kurang upaya dari segi mental, ditahan pada 2009 atas kesalahan menyeludup 42.72g heroin ke Singapura dan dijatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya.

Dipercayai mempunyai IQ 69 – tahap yang diiktiraf kurang upaya – Nagaenthran gagal dalam permohonan pengampunan dan kesnya sejak itu mendapat kritikan meluas, dengan Kesatuan Eropah dan jutawan British, Richard Branson antara pihak yang mengutuk pelaksanaan hukuman mati itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.