
Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pemandu yang juga lelaki berusia 50-an berasal dari Pulau Pinang itu tidak cedera dan masih terkejut dengan kejadian.
“Pemandu masih dalam keadaan terkejut dan tidak menyangka ada orang melintas jalan di kawasan lebuh raya itu selain tidak memandu laju ketika kejadian.
“Siasatan masih dijalankan termasuk hubungan enam mangsa terbabit kemalangan yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan.
“Polis sudah mengenal pasti identiti enam mangsa warga Rohingya berkenaan terdiri daripada dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun manakala empat lagi berusia 14, 18, 20 dan 36 tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak kedutaan negara terbabit bagi tindakan selanjutnya termasuk urusan mayat.
Dalam kemalangan dikatakan berlaku pada 6.50 pagi itu, sekumpulan tahanan berkenaan dikatakan mahu menyeberangi lebuh raya sebelum dirempuh kenderaan.
Mengulas lanjut Shuhaily berkata, setakat kini seramai 30 tahanan Pati yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, semalam, berjaya ditahan semula polis Pulau Pinang.
Katanya, hingga jam 10 pagi tadi, dua lagi tahanan berjaya ditahan di kawasan sekitar Nibong Tebal dan polis juga akan menggunakan bantuan unit udara bagi mengesan kedudukan tahanan yang masih diburu.