
Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong berkata, kontrak asal bernilai RM9 bilion, menjadikannya satu daripada projek terbesar yang pernah dilaksanakan Malaysia.
“Kapal pertama yang sepatutnya siap dibina daripada sejumlah enam kapal ialah April 2019. Namun, sehingga hari ini, iaitu tiga tahun dari tarikh ia sepatutnya siap, tidak ada sebuah kapal pun yang telah dibina,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka berkata, siasatan khas yang diketuai Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang mendapati hanya RM5.94 billion telah digunakan dan tidak diketahui ke mana perginya sekurang-kurangnya RM1 bilion.
“Pada 11 Feb 2020, kami berdua (Mohamad dan Liew) bersama Ambrin memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad…dan mencadangkan orang-orang yang disyaki dalam projek itu sebelum ini perlu disiasat dan dihukum.”
Ini menyusul pengumuman Hishammuddin semalam bahawa mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebulat suara bersetuju meneruskan projek perolehan LCS.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama, iaitu LCS adalah aset amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 400 vendor terlibat dalam projek itu dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.
“Pengumuman Hishammuddin bermakna tiada apa yang baharu kerana ia sama dengan apa yang kami cadangkan pada 2020.”
Cadangan lain oleh Mohamad dan Liew termasuk garis masa baharu untuk projek itu, laporan Ambrin didedahkan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara segera membentangkan laporannya berhubung projek itu di Parlimen.