1,509 kanak-kanak, remaja hilang sejak 2020, kata Bukit Aman

1,509 kanak-kanak, remaja hilang sejak 2020, kata Bukit Aman

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan daripada jumlah itu 1,424 orang ditemui semula manakala 85 lagi masih hilang.

Kes tertinggi direkodkan adalah pada 2020 iaitu seramai 817 orang kanak-kanak dilaporkan hilang, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 1,509 kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dalam tempoh dari 2020 hingga Februari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan, daripada jumlah itu 1,424 orang ditemui semula manakala 85 lagi masih hilang.

Katanya, kebanyakan kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tidak semuanya ditemui selamat.

“Ada kes yang dilaporkan kita terpaksa buka kertas siasatan selain ada juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Ini kerana, ada kes hanya menemukan jasad mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan. Seperti lemas selepas terjatuh di dalam longkang atau sungai ketika bermain,” katanya semalam, menurut Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kanak-kanak perempuan direkodkan mangsa hilang tertinggi melibatkan 1,113 orang manakala 396 adalah lelaki.

Katanya, kes kehilangan paling tinggi membabitkan kanak-kanak berusia 13 sehingga 17 tahun iaitu seramai 1,330 orang diikuti lapan hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang).

“Alasan dan punca yang sering dilaporkan kanak-kanak ini hilang adalah lari kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin hidup bebas daripada keluarga.

Menurutnya, kes tertinggi direkodkan adalah pada 2020 iaitu seramai 817 orang kanak-kanak dilaporkan hilang namun 803 mangsa berjaya ditemui dan 14 lagi masih hilang.

“Bagi 2021 pula, kita merekodkan sebanyak 569 kes kehilangan kanak-kanak yang mana 531 mangsa ditemui manakala 38 lagi masih hilang.

“Sebanyak 123 kes lagi direkodkan pada dua bulan pertama tahun ini yang mana 90 orang kanak-kanak berkenaan ditemui semula manakala 33 lagi masih hilang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.