2 anggota tentera laut maut motosikal rempuh treler

2 anggota tentera laut maut motosikal rempuh treler

Mangsa, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 38, dan Norasnizam Mohd Alui, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Motosikal yang dinaiki dua anggota TLDM merempuh sebuah treler yang membuat pusingan-U di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu. (Gambar PDRM)
KOTA KINABALU:
Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori treler di Jalan Sepanggar di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 38, dan Norasnizam Mohd Alui, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta Y16ZR dan bergerak dari arah terowong menghala ke Pelabuhan Sepanggar.

Bagaimanapun katanya, sebuah lori treler yang berada di laluan bertentangan pula dikatakan cuba berpatah balik ke pelabuhan.

“Ketika membuat pusingan-U, pemandu lori terpaksa memperlahankan kenderaan selepas terganggu dengan sebuah kenderaan lain yang diletakkan di kiri bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai gagal melihat treler dan terus merempuh belakang lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedua-dua mangsa ditemui terperosok di bawah treler bersama kedua-dua buah motosikal mereka, menurut polis. (Gambar PDRM)

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa ditemui terperosok di bawah treler bersama kedua-dua buah motosikal mereka.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas.

“Keadaan lokasi gelap dan lampu jalan juga tidak berfungsi dan pemandu lori serta kedua-dua mangsa juga tidak disyaki mabuk.

“Namun spesimen darah semua yang terlibat sudah diambil untuk ujian Jabatan Kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.