
Beliau berkata, pemansuhan peruntukan itu berisiko mencetuskan tindakan lompat parti melalui pintu belakang dan ahli Parlimen yang meletak jawatan boleh bertanding semula di atas tiket parti lain tanpa halangan tempoh waktu.
“Senario ini jika berlaku akan mematahkan tujuan akta anti-lompat parti.
“Lagipun, pemansuhan peruntukan sedia ada ini akan membuatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihan raya berulang kali yang pasti membazir jutaan ringgit wang rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Faiz berkata, satu peruntukan khusus kepada sub-Perkara 48 berkaitan kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen akibat lompat parti dan hukuman atau kesan kepada kerusi disandang seharusnya digubal.
Katanya, akta anti-lompat parti pula digubal bagi memberikan tafsiran dan prosedur bagaimana tindakan diambil kesan daripada tindakan lompat parti.
Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan cadangan memansuhkan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan, termasuk pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu.
Perkara 48 (6) menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.