
Dalam temu bual bersama FMT, Mahathir berkata semasa beliau memimpin negara dan Umno, parti itu menjadi wadah utama orang Melayu dan tidak berlaku perpecahan seperti dilihat hari ini.
“Ketika itu, perpaduan Melayu sudah wujud. Perpaduan ini memberi kekuatan kepada orang Melayu dan mereka berjaya memenangi pilihan raya.
“Tidak timbul soal siapa nak pimpin atau siapa akan menggantikan pemimpin,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir berkata keadaan berubah selepas beliau melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno.
Menurutnya, perpecahan dalam Umno menyebabkan tiada seorang tokoh yang benar-benar mendapat sokongan menyeluruh, lalu mencetuskan perebutan untuk menjadi perdana menteri.
“Ahli Umno tidak kekal dalam satu parti, mereka berpecah kepada empat atau lima parti,” katanya.
“Selepas saya berundur, timbul perebutan untuk jawatan perdana menteri. Sepatutnya timbalan perdana menteri menggantikan perdana menteri.
“Tetapi sekarang, semua orang rasa mereka boleh jadi perdana menteri.”
Mahathir berkata perubahan ini memaksa pemimpin politik bekerjasama dengan banyak parti demi mengekalkan sokongan orang Melayu.
“Jika hanya seorang diberi peluang jadi perdana menteri, yang lain tidak akan menyokong.
“Jadi, untuk dapat sokongan semua orang Melayu, semua parti Melayu mahu peluang untuk menjadi perdana menteri,” katanya.
Kenyataan Mahathir itu dibuat ketika perbincangan mengenai perpaduan politik Melayu semakin hangat, dengan pelbagai parti kecil dan besar bersaing merebut pengaruh yang sebelum ini didominasi Umno.
Kini, kekuatan politik Melayu terbahagi antara Umno, Bersatu, PAS, PKR, Amanah dan beberapa parti lain.
Jun lalu, Mahathir menubuhkan sekretariat Melayu bagi menyatukan perjuangan orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas presiden Umno yang kemudian mengetuai Bersatu, Pejuang dan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata usaha itu bukan untuk membentuk parti baru, sebaliknya sekadar satu gabungan longgar untuk menyelaras suara orang Melayu.