
“Pertandingan di peringkat ketua tiada YB (Yang Berhormat), dua-dua bekas aktivis. (Kami tampilkan) pasukan baharu. Ini proses rejuvenasi yang sangat baik untuk parti,” kata calon ketua Pemuda PKR itu merujuk kepada pesaingnya, Fahmi Zainol.
“Ia memberi peluang kepada AMK (Pemuda PKR) untuk membawa keluar bakat baharu dan segar. Tiada soal nak mengubati kelesuan dan sebagainya. Itu bukan tujuan utama,” katanya selepas menyerahkan borang pencalonan ketua Pemuda di Ibu Pejabat PKR.
Adam turut menolak pertandingan dua penjuru dengan Fahmi akan membuka ruang kepada kumpulan anak muda “berpuak-puak” dalam parti itu, sebaliknya beliau melihat pemilihan kali ini sebagai pertandingan adik-beradik.
“Pemilihan kali ini pemilihan adik-beradik, pemilihan antara sahabat-sahabat, tidak ada nak tunjuk puak ini, puak itu dan sebagainya.
“…tetapi proses pemilihan memang begitu, tetap ada calon, tetap kena ada pertandingan dan itu sebagai proses demokrasi kerana apa pun untuk jadi pemimpin, mereka perlukan mandat yang dipilih atau diberi oleh anggota organisasi,” katanya.
Beliau turut menjangkakan proses pemilihan kali ini lebih tenang, tanpa adegan baling-membaling kerusi seperti yang pernah berlaku dalam pemilihan parti 2018.
“Kalau nak banding (dengan pemilihan 2018), nak baling kerusi…semua pakai telefon, boleh baling telefon dekat rumah sendiri,” katanya berseloroh.
“Biasalah mungkin tersinggung, berselisih itu biasa, tetapi untuk sampai ke tahap permusuhan atau berkasaran, saya rasa tidak ada.”
Sementara itu, Fahmi yang turut hadir menyerahkan borang pencalonannya di Ibu Pejabat PKR berkata, beliau meraikan kehadiran Adam untuk mencabarnya dengan menyifatkannya sebagai persaingan harmoni dan sihat.
“Ia (persaingan) yang sihat, beliau rakan baik saya dan juga rakan aktivitis. Apabila beliau masuk dalam PKR, beliau menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai ketua AMK…saya rasa ini perlawanan sihat, perlawanan adik-beradik. Saya tidak ada masalah dan saya meraikan kehadiran beliau.”
Fahmi yang juga bekas ketua Pemuda PKR Pulau Pinang berkata, beliau menawarkan tiga fokus utama kepada Pemuda, iaitu memenangi hati pengundi Undi18, meningkatkan peratusan calon muda dalam sayap itu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan meningkatkan kekuatan sayap.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, penyertaan Adam sebagai calon ketua Pemuda mendapat restu Presiden, Anwar Ibrahim, walaupun keahlian aktivis belia itu dalam PKR kurang setahun.
Walaupun Adam baru menyertai parti itu katanya, semangat dan rohnya sepanjang menjadi aktivis mengangkat semangat PKR.
“Cuma (Adam) tak pakai baju PKR, itulah antara sebab kenapa peraturan pemilihan membenarkan presiden membolehkan sesiapa untuk bertanding, walaupun tak cukup setahun menjadi ahli secara rasmi.
“Bagi saya, Adam bukan orang baharu, cuma dia baru masuk parti,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Pemilihan PKR julung kali diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi Adil yang diperkenalkan pada 28 Feb lepas.
Proses pengundian dalam talian bermula 18 hingga 20 Mei ini, selepas undian fizikal pada 13 hingga 17 Mei.