
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM486,000 untuk tujuan itu, selepas menerima permohonan daripada Mahathir untuk menghadiri persidangan yang berlangsung di Tokyo itu.
“Ada peraturan membolehkan perdana menteri luluskan (perjalanan bekas perdana menteri yang lain) … beliau mohon, kalau perdana menteri luluskan, kerajaan akan bayar, termasuk untuk Mahathir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti yang diadakan secara tertutup hari ini.
“Baru-baru ini (Mahathir) ingin ke persidangan Nikkei di Jepun, jadi beliau mohon dan saya luluskan walaupun saya ingat daripada sembilan orang, mungkin tujuh orang (sertai delegasinya).”
Turut hadir, dua naib presiden PKR Amirudin Shari dan R Ramanan, Setiausaha Agung Fuziah Salleh, Ketua Wanita Fadhlina Sidek, Ketua Pemuda Kamil Munim dan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Anwar berkata, walaupun sering dikritik, bekas perdana menteri itu berhak memohon peruntukan, namun kelulusan tertakluk kepada pertimbangan perdana menteri.
“Jadi, (ada) orang tanya pasal apa bayar? Ada hak beliau (untuk) memohon, tetapi terserah kepada perdana menteri untuk luluskan. Saya tidak mahu ada yang salah faham … saya juga tidak mahu ambil sikap negatif walaupun beliau hari-hari ‘serang’ kita, kita masih luluskan,” katanya.
Dalam ucapannya pada forum 30 Mei itu, Mahathir memberikan bayangan tentang penyertaan terakhirnya dalam persidangan membincangkan ekonomi, teknologi dan masa depan Asia itu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletak jawatan sebelum ini untuk fikir masak-masak sebelum melepaskan kedudukan dalam Jemaah Menteri.
“Kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Jemaah Menteri). Surat (letak jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan),” katanya.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menghantar surat peletakan jawatan selepas kalah pada pemilihan parti bulan lepas.
Anwar dalam ucapannya hari ini turut memohon agar ahli parti kembali mempererat silaturahim, walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan baru-baru ini.
Semua pihak perlu berlapang dada dan melupakan perbezaan pendapat yang tercetus ketika pemilihan itu, demi agenda lebih besar parti, tambahnya.
“Bayangkan saya boleh kerjasama dengan Umno, siap peluk-peluk … takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya.