Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti kerajaan pelihara ruang demokrasi, kata Adam Adli

Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti kerajaan pelihara ruang demokrasi, kata Adam Adli

Pengarah Komunikasi PKR berkata himpunan itu menunjukkan rakyat boleh bersuara tanpa takut dan kerajaan sedia mendengar tanpa angkuh.

Adam Adli
Pengarah Komunikasi PKR Adam Adli berkata PKR melihat himpunan itu bukan sebagai satu ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
PETALING JAYA:
Perhimpunan ‘Turun Anwar’ di ibu kota semalam yang berlangsung tanpa sebarang gangguan dan kekerasan membuktikan kemampuan kerajaan perpaduan dalam memelihara ruang demokrasi, kata Pengarah Komunikasi PKR Adam Adli.

Adam berkata PKR melihat himpunan itu bukan sebagai satu ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.

“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan.

“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai. Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.

“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya, kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting.

protes
Kira-kira 18,000 orang menyertai perhimpunan itu menurut anggaran polis, walaupun penganjur iaitu Pemuda PAS mendakwa lebih 200,000 peserta hadir.

“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil. Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan bagi mengawal keadaan sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita, mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara,” katanya.

Menurutnya, cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat, terutama isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.

Beliau berkata, kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi, dan mencabar pembangkang melakukan perkara yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.