Rafizi beri bayangan tak tanding PRU16, tinggalkan PKR

Rafizi beri bayangan tak tanding PRU16, tinggalkan PKR

Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau tetap menghormati mandat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada budaya yang ditunjukkan dalam pemilihan PKR sebelum ini.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberi bayangan untuk meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen ini dan tidak bertanding dalam PRU akan datang.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada budaya politik yang ditunjukkan semasa pemilihan PKR pada Mei, apabila beliau tewas jawatan timbalan presiden kepada Nurul Izzah Anwar.

Rafizi turut berkata beliau tidak yakin terhadap keupayaan parti untuk menyingkirkan budaya tersebut, walaupun beliau tidak menjelaskan secara khusus budaya yang dimaksudkan.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU16, Rafizi menjelaskan belum membuat keputusan berhubung perkara itu malah tidak menolak kemungkinan untuk tidak bertanding langsung.

“Kalau jawatan menteri pun saya sanggup lepaskan, apatah lagi sekadar tidak bertanding dalam pilihan raya.

“Sebenarnya, saya masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada PRU akan datang,” katanya dalam audio siar Yang Berhenti Menteri.

Menurut Rafizi, walaupun tidak lagi aktif dalam kepimpinan PKR, beliau tetap akan menghormati mandat sebagai Ahli Parlimen Pandan dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

Masa untuk ‘move on’

Rafizi juga berkata beliau akan melangkah ke fasa baharu tanpa menoleh ke belakang walaupun beliau pernah memainkan peranan penting dalam PKR.

Katanya lagi, beliau juga tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam parti pada masa akan datang.

“Saya akan ‘move on’. Saya tidak akan bertanding apa-apa jawatan di dalam PKR… Saya rasa budaya yang telah ditunjukkan dalam pemilihan yang lepas itu, bukanlah sesuatu yang saya hendak jadi sebahagian daripadanya.

“Kalaupun ada pemilihan baru, saya tidak rasa saya atau kita ada kemampuan untuk membersihkan parti daripada budaya. Jadi saya akan ‘move on’,” katanya.

Pada 17 Jun lalu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri ekonomi susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.