Rafizi dan prinsip

Rafizi dan prinsip

Tidak tunduk kepada pujuk dan rayu selepas berasa dirinya dipermainkan.

hishamuddin-aun

Genap 17 hari selepas Rafizi Ramli menghantar surat peletakan jawatan selaku menteri ekonomi untuk berkuat kuasa hanya tiga hari lagi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan hasrat untuk melihat Ahli Parlimen Pandan itu dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad kembali menyertai Kabinet.

Ia juga sudah dua minggu sejak bekas timbalan presiden PKR itu – yang kalah kepada puteri sulung perdana menteri Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan 23 Mei lalu – mengumumkan sudah mempunyai perancangan sebaik sahaja cutinya tamat Selasa ini.

Ramai yang ternanti-nanti apakah rancangan beliau tetapi apa yang jelas ia tidak berkemungkinan ada kaitan dengan hasrat Anwar mahu melihatnya untuk “memaaf dan melupakan” dengan kembali menggalas jawatan menteri ekonomi menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen Julai ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Lumut dari PKR Mohd Imran Abd Hamid membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) pada 29 Mei lalu memohon agar keputusan pemilihan PKR di semua peringkat yang sebelum ini mengundang pelbagai kontroversi khususnya fenomena ‘badan tanpa kepala’ – kekalahan ketua cabang dari kumpulan yang memenangi keseluruhan jawatankuasa – dibatalkan.

“Saya mendesak diadakan pemilihan semula di semua peringkat menggunakan kaedah lama, satu anggota satu undi. Keputusan perlu diumumkan secara ‘real time’, perlu dipapar di layar gergasi bersama gambar calon yang bertanding. Saya juga meminta JPPM membatalkan keputusan pemilihan pusat pada 23 Mei lalu,” katanya seperti dilapor Malaysiakini pada 6 Jun.

Sambil itu, seorang aktivis PKR Sarawak menjangka Rafizi dan pasukannya yang tewas pada pemilihan parti akan meninggalkan PRU16 – bukan sahaja tidak akan menjadi calon, malah mungkin tidak akan membantu kempen PKR.

“Saya jangkakan nama-nama pro-Rafizi akan berhenti daripada menyertai pilihan raya seperti pernah berlaku pada 2004 sehingga kita hanya tinggal satu kerusi Parlimen,” kata Iswardy Morni menerusi Facebook beliau pada 10 Jun.

“Dia (Nurul Izzah) dengan sedar memilih langkah ini (untuk jadi timbalan presiden dan jeneral perang dalam PRU16) dan dengan yakin mengatakan dia mampu. Dia tidak dipaksa untuk memilih jawatan tersebut, dia memilih untuk memikulnya. Maka tidak ada istilah “aku sudah menang, tapi Rafizi masih kena pikul tanggungjawab ini”. Segala mata tertumpu kepadanya untuk memimpin kita ke jalan kemenangan membawa Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri untuk penggal kedua,” katanya.

Andai Rafizi, 47, seorang yang berprinsip sebagaimana prinsip perjuangan parti yang dilaung-laungkannya sepanjang lapan peringkat kempen Hiruk – bermula di Negeri Sembilan pada 11 Mei dan berakhir di Johor pada 20 Mei – maka beliau tidak akan termakan pujuk dan rayu, apatah lagi selepas berasa dipermainkan hingga membawa kepada kekalahannya dalam parti.

Diminta oleh Anwar pada 28 Feb lalu supaya beliau diberi laluan mudah untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti – disusuli oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa perbincangan masih berjalan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti – berlakunya fenomena ‘kepala tanpa badan’ dalam pemilihan peringkat cabang dari 11-20 April mengubah sama sekali senario itu.

Diributkan lagi oleh tindakan Rafizi tiba-tiba bercuti dan tularnya gembar-gembur beliau enggan bertanding dan konon sudah mengosongkan pejabatnya di Kementerian Ekonomi, Shamsul Iskandar jugalah orangnya yang melontarkan nama Nurul Izzah untuk timbalan presiden manakala Anwar pula tidak berkata apa-apa untuk menghalang penyertaan puterinya melainkan menganggap ia pertandingan antara sahabat dan rakan karib.

“Ini pertandingan atas padang tak sama rata,” kata Rafizi dalam jelajah Hiruk Sarawak pada 17 Mei sambil merujuk kepada bacaannya bahawa pertembungannya dengan Nurul Izzah dalam keadaan segala-galanya sudah disusun bagi memenangkan pencabarnya itu.

“Isyarat itu telah jelas, keseluruhan parti telah digerakkan agar saya kalah dengan Nurul Izzah…memang jelaslah, tak ada masalah. Saya masuk (pemilihan) saya menerima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat,” tambahnya.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet 28 Mei lalu, Rafizi mengulangi bahawa kekalahannya dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.

Dan bercakap mengenai prinsip, Rafizi menghuraikan dengan panjang lebar mengenainya dalam Jelajah Hiruk Kedah di Sungai Seluang, Lunas pada 12 Mei lalu bahawa rakyat akan sentiasa menilai dan apabila mereka melihat PKR sudah hilang prinsip, jangka hayat parti itu tidak akan bertahan lama.

“Kebodohan apa yang berlaku dalam PKR pada tahun 2025 ini, semua elok semua tengah tumpu tiba-tiba kamu pergi goncang. Yang itu nasi sudah jadi bubur tak apalah. Yang akan menentukan kita menang atau kalah dan lama mana parti ini boleh bertapak di hati rakyat ialah prinsip yang kita pertahankan.

“Kalau rakyat kata parti kamu ini tak ada beza dengan parti-parti lain, jadi dia kira buat apa aku nak undi kamu. Sebab itu prinsip mempertahankan prinsip adalah sangat penting. Kalau kita hilang itu, saya boleh kata terus nyawa parti ini tak lama,” tambahnya.

Terbaru, Rafizi pada Jumaat memberi bayangan kekal dengan keputusan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi dengan memasuki pejabatnya di Kementerian Ekonomi buat kali terakhir pada Khamis dan semalam untuk urusan-urusan terakhir termasuk mengemas pejabat.

Kesimpulan boleh dibuat bahawa beliau tidak akan kembali ke sana lagi.

“Prinsip ini pada pemahaman saya ialah konsistensi kita dalam mempertahankan keputusan dalam apa jua pun keadaan. Keputusan kita itu tak boleh berbeza-beza ikut kehendak kita.

“Prinsip mesti konsisten, tak boleh bertukar-tukar,” kata Rafizi yang mengumumkan dalam audio siar “Yang Bakar Menteri” di Seri Kembangan 10 Mei lalu bahawa beliau akan meletak jawatan menteri ekonomi jika kalah dalam pemilihan parti.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.