
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, lebih merunsingkan mereka apabila Borang K itu tidak menyatakan secara jelas tempoh untuk mereka mengosongkan rumah.
“Tidak ada bila kata putus (tarikh) dari pejabat tanah (JTG). Memang tiada tarikh sebenar, semua terkejut sebab borang itu keluar betul-betul nak bulan puasa.
“Kita kecewa sebab yang keluarkan borang itu majoriti orang Melayu, Islam, takkan tak tahu nak puasa, (bulan depan) nak raya? Di mana kami nak duduk?” keluhnya kepada FMT sambil mengakui masih tiada perancangan berhubung tempat tinggalnya menjelang Aidilfitri.
Katanya, Borang K yang bertarikh 22 Mac itu sampai ke tangan penduduk pada 1 April lalu.
Borang K yang dilihat FMT menyatakan: “Tuan adalah diminta mengosongkan premis bangunan di kawasan pengambilan terlibat setelah penerimaan notis Borang K ini bagi mengelakkan tuan diambil tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
“Pihak pentadbir juga tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan harta benda milik tuan di atas tindakan ini,” demikian menurut notis itu.
Penduduk itu berkata, kebanyakan mereka yang menerima Borang K sudah mendapat pampasan RM240,000 hingga RM260,000.
Tetapi, beliau mengakui jumlah itu masih tidak mencukupi untuk membeli kediaman lain di sekitar Kuala Lumpur, khususnya Kampung Baru.
“Kebanyakan penduduk yang tidak menerima tawaran daripada pemaju, iaitu Ritzy Gloss Sdn Bhd, ada komitmen dekat Kampung Baru atau kawasan berdekatan. Macam saya selalu berulang alik menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara.
“Kalau saya setuju, saya diberi unit pemindahan di Kampung Kerinchi, Bangsar. Dari segi jarak dan lokasi sangat berbeza dengan Kampung Baru, memanglah kami tak mahu duduk di sana sebab susah untuk ke mana-mana,” kata pengguna pengangkutan awam itu.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Syed berkata, difahamkan penduduk yang menerima Borang K itu diberi tempoh 21 hari untuk mengosongkan rumah.
“Ini yang membimbangkan kami kerana ada penduduk terima maklumat lain, tapi saya terima maklumat lain, bila kita rujuk JTG, mereka kata tak pasti.”
Justeru, mereka mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun segera campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Sepatutnya YB (Rina) bawa isu ini ke Parlimen, ini tidak, sampai sekarang bayang dia pun tak pernah turun jumpa kami. Kerajaan sepatutnya bantu rakyat, tetapi dalam kes ini, mereka lebih memihak kepada pemaju,” katanya.
Mereka turut mempersoalkan tindakan JTG mengeluarkan notis pengosongan kepada penduduk flat terlebih dahulu.
“Mengapa tidak keluarkan notis hanya selepas proses pengambilan tanah di kediaman teres dan flat selesai? Mengapa perlu usir kami dahulu?” soal mereka.
Perancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian, termasuk rumah teres.
Pembangunan semula yang dirancang itu akan membabitkan 328 unit rumah, dengan 264 daripadanya adalah flat dan selebihnya rumah teres yang dianggarkan berkeluasan 6.8 hektar.
Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, difahamkan 30% penduduk tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres berbanding anggaran jurunilai dilantik sebanyak RM1,500 sekaki persegi untuk tanah sahaja, tidak termasuk bangunan.