
Katanya, Putrajaya kekal terbuka untuk berunding dengan penduduk yang menentang projek tersebut, asalkan permintaan datang daripada kumpulan pemilik itu sendiri.
“Cuma saya perhatikan yang pihak ketiga sering kali mengapi-apikan isu ini.
“Jadi orang kata lebih sudu dari kuah…kadang-kadangnya lebih-lebih pula, lebih daripada kumpulan pemilik,” katanya ketika menggulung perbahasan sesi penerangan khas mengenai isu itu di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ‘pakej harmoni’ ditawarkan pemaju juga masih boleh dirundingkan.
“Kalau yang tak bersetuju, kemudian tiba-tiba nak turut serta itu masih lagi terbuka,” katanya.
Zaliha turut menolak kebimbangan mengenai isu gentrifikasi, dengan memberi jaminan pembangunan semula akan membolehkan penduduk asal yang berpindah sementara akan kembali semula apabila rumah baharu siap kelak.
Bagi mengekalkan komuniti setempat, waris pemilik asal akan diberi keutamaan untuk unit tambahan, manakala projek mampu milik baharu bagi komuniti Melayu turut dipertimbangkan.
Beliau berkata, kerajaan juga merancang bekerjasama dengan golongan profesional bagi memelihara warisan dan identiti Melayu di kawasan itu termasuk cadangan menubuhkan sebuah ‘kampung budaya’.