
Peguam mereka, Rosal Azimin Ahmad, berkata Hakim Su Tiang Joo membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili penduduk dan pemaju, KL City Gateway Sdn Bhd.
“Hakim menolak rayuan kami atas alasan bahawa writ itu sudah pun dikuatkuasakan dan mengambil maklum tentang kekecohan yang berlaku semasa proses penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita, sambil menambah bahawa penduduk akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah juga memerintahkan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada pihak pemaju.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Qasiratul Jannah Usmani Othman, mengeluarkan writ tersebut pada 4 Jun dan menolak permohonan penduduk untuk menangguhkan pelaksanaannya pada 15 Julai.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang dimulakan pada 2016 merangkumi 64 rumah teres dan 264 unit flat PKNS, namun tertangguh akibat cabaran undang-undang, pertikaian pampasan dan bantahan sebahagian penduduk.
Kekecohan berlaku pada 11 Sept lalu apabila penduduk yang membantah pihak berkuasa daripada melaksanakan writ pengosongan premis itu cuba melepasi halangan polis.
Kejadian di Kampung Sungai Baru, sebuah petempatan kecil dalam Kampung Baru, berlaku apabila pihak berkuasa mengosongkan 37 rumah tetapi 14 pemilik enggan mengosongkan kediaman mereka.
Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, cedera di kepala selepas terkena objek yang dipercayai dibaling oleh seorang individu daripada kumpulan yang membantah pengusiran itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihak berkuasa sedang melaksanakan writ pengosongan premis yang dikeluarkan mahkamah terhadap 37 rumah teres berkenaan.