Penduduk Jinjang Selatan Tambahan tuntut DBKL selesai isu rumah, pampasan

Penduduk Jinjang Selatan Tambahan tuntut DBKL selesai isu rumah, pampasan

Wakil penduduk serah memorandum kepada Datuk Bandar Maimunah Mohd Sharif.

Antara penduduk Jinjang Selatan Tambahan yang berkumpul di DBKL dan menyerahkan memorandum menuntut penjelasan berhubung isu perumahan.
KUALA LUMPUR:
Wakil penduduk Jinjang Selatan Tambahan menuntut penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu perumahan dan pampasan didakwa belum selesai sehingga kini.

Mereka berkumpul di depan menara DBKL pada 10 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar Maimunah Mohd Sharif.

Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan, berkata kebanyakan penduduk kecewa tidak mendapat rumah keluarga kedua dijanjikan DBKL selepas 15 tahun menunggu.

“Tak nampak pun rumah dijanjikan. Tiada sebuah papan pun dipaku. 15 tahun tunggu tapi rumah tak siap-siap,” katanya ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada DBKL yang diterima pegawai khas Maimunah, Khairul Azlan Yusuf.

Ameer juga sekali lagi membangkitkan isu pampasan diterima penduduk yang disifatkan tidak sepadan nilai premis pada masa ini.

“DBKL bagi tanah seluas 96 ekar kepada pemaju projek tapi hanya pampasan RM5,000 diberi penduduk,” katanya.

Beliau akan teruskan perjuangan sehingga dapat menuntut rumah bagi setiap penduduk terbabit jika tiada perkembangan atau tindakan lanjut daripada DBKL.

Antara tuntutan dalam memorandum dihantar termasuk isu keciciran penduduk pemegang lesen pendudukan sementara (TOL) yang mana sebanyak 67 tidak menerima tawaran rumah percuma atau rumah gantian walaupun menetap lebih 70 tahun.

Selain itu, peminggiran 43 pemilik kedai yang memegang TOL sejak 1970-an tidak mendapat tawaran pampasan atau unit gantian walaupun dijanjikan, juga status keluarga kedua yang tidak jelas serta ketidaktelusan proses bancian dan siasatan berhubung kes kecurian hak rumah.

Pada 22 Sep lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata tiada operasi meroboh rumah, kedai atau kilang di Jinjang Selatan Tambahan susulan arahan mahkamah supaya penduduk dan peniaga di kawasan tersebut berpindah dibuat pada hari berkenaan.

Sementara itu, Ameer mendesak Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berani menyahut cabaran berdebat bersamanya susulan dakwaan ‘layan dua darjat’ pihak berkuasa kepada penduduk di Jinjang Selatan Tambahan dan Kampung Sungai Baru.

“Kalau Akmal anak jantan, mari berdebat dengan saya. Jangan jadi ‘jaguh kampung’ yang tak tahu masalah kita,” katanya.

Selasa lalu, Akmal berkata rumah dibina di atas tanah sendiri di Kampung Sungai Baru dirobohkan, sedangkan premis didakwa disewa di Jinjang Selatan Tambahan pula tidak perlu melalui proses sama walaupun diarahkan mahkamah untuk berpindah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.