Fatwa bukan satu-satunya jalan, cuba pendekatan kemanusiaan juga, kata menteri

Fatwa bukan satu-satunya jalan, cuba pendekatan kemanusiaan juga, kata menteri

Saifuddin Abdullah berkata, umat Islam lebih cenderung bertanya apa kata fatwa berbanding mencari jalan lain menyelesaikan masalah insan.

Saifuddin Abdullah menggesa lebih banyak perbincangan berhubung topik seperti sains politik, ekonomi, sosiologi dan kesihatan mental dalam kalangan umat Islam berbanding hanya undang-undang Islam.
PETALING JAYA:
Umat Islam tidak perlu terburu-buru merujuk fatwa bagi menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat, sebaliknya bergerak ke arah penyelesaian lebih saintifik dan kemanusiaan, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Katanya, umat Islam di Malaysia cenderung mendapatkan hukum dengan mula bertanya “apa kata fatwa?” berbanding menggunakan jalan lain ketika berdepan masalah insan.

“Saya tidak kata fatwa tidak penting, tapi tentunya ada yang lebih daripada sekadar fatwa (untuk menyelesaikan isu).

“Kita perlu tanya soalan sukar dan beralih daripada pendekatan hukum kepada pendekatan lebih saintifik dan kemanusiaan untuk menyelesaikan masalah insan,” katanya dalam webinar hari ini sambil menambah tiada salahnya dengan fatwa.

Webinar itu bertujuan menganalisis buku karya saintis politik, Ahmet Kuru yang berjudul “The Ulema-State Alliance: A Cause of Authoritarianism and Underdevelopment in the Muslim World” yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu.

Walaupun terdapat banyak wacana berhubung undang-undang Islam, Saifuddin berkata, umat Islam juga perlu mengambil bahagian dalam perbincangan membabitkan topik sains politik, ekonomi, sosiologi dan kesihatan mental.

Buku Kuru membincangkan kebangkitan dan kejatuhan negara serta tamadun Islam, termasuk faktor yang mungkin menyumbang ke arah itu.

Menurut Kuru, ketika umat Islam berjaya pada suatu ketika dahulu, terdapat “tahap pemisahan antara politik, agama, akademik dan ekonomi”.

Dalam pada itu, Sara Salimi dari gerakan mahasiswa Demokrat Universiti Malaya berkata, di Malaysia, sebarang perbincangan berhubung pemisahan agama daripada pemerintahan dianggap larangan.

Katanya, hubung kait Islam dan negara diperkukuhkan lagi dengan jalinan agama dan identiti orang Melayu, menjadikan apa jua perbincangan berhubung sekularisasi sukar dilaksanakan.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu mesti seseorang yang beragama Islam, lazimnya bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.”

Katanya, rakyat Malaysia sering dijadikan alat untuk meraih undi dalam pilihan raya dan dinamik antara agama serta kerajaan sangat nyata.

“Sekiranya anda menentang Islam bermaksud anda menentang Melayu, dan jika anda menentang Melayu bermakna anda menentang Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.