
Umum tahu pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah sudah digugurkan daripada jawatan ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Umum juga tahu beberapa hari sebelum itu, Saifuddin secara terbuka menggesa Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan presiden Bersatu dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu. Umum tahu beliau maksudkan Hamzah Zainudin, timbalan presiden sekarang.
Beliau juga mahu Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dilucut jawatan ‘bagi membersihkan parti daripada dakwaan masalah moral yang dikatakan menjejaskan reputasinya’. Dipercayai Saifuddin merujuk video enam tahun lalu, dikatakan membabitkan Azmin.
Lalu apabila Saifuddin disingkir daripada jawatan ketua PN Pahang, jelas menunjukkan beliau sudah kena tindakan balas. “Saifuddin melawan pengerusi PN,” kata seorang pemerhati politik. Umum tahu selain jadi presiden Bersatu, Muhyiddin juga pengerusi PN.
Lalu apa yang berlaku bolehlah dirumus — serang Bersatu, PN yang bertindak balas. Hukuman diumum Azmin, yang juga pegang jawatan setiausaha agung PN.
Sekarang keadaannya begini: PAS yang dianggap ‘taiko‘ dalam PN didakwa tidak berkenan dengan Muhyiddin sebagai pengerusi PN dan Azmin sebagai setiausaha agung PN. Ertinya PAS dengan Saifuddin didakwa sehaluan iaitu sama-sama tak berkenan dengan Muhyiddin dan Azmin. Tetapi apabila Saifuddin dilucut jawatan ketua PN Pahang, penggantinya Tuan Ibrahim tuan Man, timbalan presiden PAS. Bagi saya PAS dapat untung at the expense of Saifuddin, pada hal, saya ulangi, beliau juga tidak suka apa yang PAS tidak suka.
Azmin turut mengumumkan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, diketepikan dan tempatnya sebagai ketua PN Perlis diganti dengan Shahidan Kassim. Dalam konteks penulisan ini, itu tidak menjadi masalah kerana kedua-dua pemimpin PAS. PAS ganti PAS.
Menurut Azmin apa yang dilakukan ialah penyusunan semula struktur. PAS sememangnya mahu PN menyusun semula struktur, tetapi difahamkan ia membabitkan jawatan pengerusi dan mungkin juga setiausaha agung. PAS didakwa mahu Hamzah jadi pengerusi PN dan orang mereka sendiri iaitu Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS, untuk jawatan setiausaha agung PN.
Berbalik kisah Saifuddin. Adakah PAS merestui tindakan ke atasnya?
“PAS sokong Hamzah — yes. Tapi kalau pecat Saifuddin yang pro-Hamzah then beri jawatan itu kepada PAS, still yes. PAS tidak akan sia-siakan peluang depan mata. Apatah lagi PAS memang target nak perintah Pahang dengan Tuan Ibrahim sebagai menteri besar. Situasi ini seperti pucuk dicita ulam mendatang kepada PAS,” Itu pandangan Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre.
Saya juga bertanya kepada Yusri adakah PAS menguasai majlis tertinggi PN meskipun pengerusinya Muhyiddin.
Jawab Yusri: “Tidak juga. Pengaruh Bersatu dalam majlis tertinggi PN besar sebelum ini. Cuma sekarang tidak kuat sebab mereka berpecah kepada dua kem.”
Berdasarkan pendapat itu, pada hemat saya, walaupun tidak kuat, Bersatu nampaknya masih boleh mempengaruhi keputusan MT PN untuk setuju akan tindakan yang dikenakan ke atas Saifuddin. Kata seorang pemerhati politik, “PAS jadi penonton dari luar. Tapi Bersatu kem Muhyiddin-Azmin masih mencatur PN dari dalam.”
Dalam konteks Azmin, kata Yusri “daripada biarkan Saifuddin terus berpecah, menikam beliau dan team beliau, lebih baik bagi (jawatan pengerusi PN Pahang) kepada PAS walaupun dia tahu PAS pro-Hamzah… itu mudarat yang lebih kecil.”
Berkata si pemerhati politik tadi — Azmin licik. Memanfaatkan organisasi untuk kekal relevan. Mana yang tidak setuju akan tercaras. Hujahnya mudah. Patuh keputusan dan ikut disiplin parti. Saifuddin pernah jadi ahli Umno, kemudian menyertai PKR dan menjadi orang kuat Azmin, yang waktu itu timbalan presiden parti.
Beliau juga pernah jadi ketua setiausaha Pakatan Harapan sebelum ikut Azmin dan beberapa Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti dalam Langkah Sheraton yang turut menguntungkan Muhyiddin.
Benar kata Yusri yang saya petik untuk artikel terdahulu bahawa kepimpinan Bersatu disandang oleh “aktor-aktor politik yang bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang”. Istilah pilihan saya ‘oportunis’.
Saya ulangi apa kata Yusri pada artikel saya dua minggu lalu — Hamzah Zainudin sendiri melompat. Menang kerusi Parlimen Larut pada PRU14 atas tiket Umno-BN tetapi keluar Umno dan masuk Bersatu apabila BN tumbang, dan masuk Bersatu yang ketika itu bersama PH dan tubuh kerajaan persekutuan.
Sekarang bukan rahsia beliau mahu jadi presiden Bersatu dan pengerusi PN sekaligus jadi calon perdana menteri PN. Tetapi seperti dinyatakan pada artikel saya bertajuk ‘Tak Nampak pula Hamzah’ siaran FMT 24 Oktober lalu, beliau berada di bawah radar dan membiarkan serangan ke atas Muhyiddin dan Azmin dilakukan oleh Wan Fayhsal Ahmad (yang keanggotaannya digantung oleh Bersatu) dan Wan Saiful Wan Jan yang telah dipecat.
Mereka kini disertai Saifuddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian, menyerang team Muhyiddin-Azmin atas risiko sendiri. As I see it, looks like Hamzah is letting others to fight his war, at least for now, dan PAS sehingga kini masih ambil sikap senyap dan sepi.
Bersatu (team presiden dan team antipresiden) dan PAS sedang ‘menyumpah’ (pinjam kata-kata seorang kawan) kerajaan Madani dan Anwar Ibrahim berkaitan Trump dan perjanjian dagangan Malaysia-AS. Krisis Bersatu ditenggelamkan.
Namun realitinya? Saya pernah guna ungkapan ‘Bersatu tidak bersatu’. Pernah juga tulis Bersatu bercerai. Tetapi ahli majlis kerja tertinggi Umno, Lokman Adam kata Bersatu sudah bersepai.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.