
Saifuddin berkata pada 1.52 petang tadi beliau menerima notis untuk menghadiri sesi perjumpaan bersama ahli jawatankuasa Lembaga Disiplin pada Khamis ini, 4.30 petang di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
“Oleh kerana pada tarikh itu saya ada program pada sebelah malam, saya meminta sesi itu diawalkan pada jam 2 petang dan dipersetujui Lembaga Disiplin,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
Serangan Saifuddin terhadap Muhyiddin sebelum ini dibuat melalui beberapa wawancara media serta kenyataan bersama beberapa ketua bahagian Bersatu.
Beliau digugurkan sebagai ketua PN Pahang, manakala sayap Pemuda Bersatu pula menggesa tindakan disiplin segera diambil terhadapnya, dengan alasan kenyataannya menunjukkan niat jahat untuk merosakkan parti.
Sebelum ini, Saifuddin mendakwa Muhyiddin ‘sudah kehilangan kualiti kepimpinan’ dan bukan lagi pemimpin yang pernah beliau kenali sebelum ini.
Beliau turut menggesa Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz meletak jawatan daripada jawatan tertinggi parti.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, yang juga bekas menteri luar, turut mendesak Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, Adlan Berhan, yang kini diburu pihak berkuasa, telah melarikan diri ke luar negara susulan tersebarnya gambar menunjukkan Adlan hidup mewah di luar negara.