5 lelaki ditahan tawar pinjaman wang tanpa lesen

5 lelaki ditahan tawar pinjaman wang tanpa lesen

Semua suspek ditahan 4 petang semalam menerusi Ops Vulture.

Tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesan, menurut Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan lima lelaki berumur 18 hingga 24 tahun kerana disyaki terlibat dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen, di sebuah bangunan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Menerusi Ops Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu, kesemua suspek ditahan kira-kira 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pengadu bagi kes itu adalah seorang warga tempatan berusia 46 tahun yang merupakan seorang pengarah syarikat swasta.

Katanya pengadu yang mempunyai masalah kewangan dalam membuat pusingan modal perniagaan sebelum ini telah membuat pinjaman dengan beberapa syarikat dalam talian, tanpa menyedari syarikat berkenaan adalah sindiket pemberi pinjaman tidak berlesen.

“Pengadu telah meminjam sebanyak RM96,240 dan telah membuat pembayaran balik sebanyak RM100,895. Pengadu telah didesak dengan pelbagai ugutan supaya membayar balik bayaran pokok sebanyak RM72,000.

“Pengadu kemudiannya telah dihubungi oleh sindiket yang memperkenalkan diri daripada syarikat pinjaman wang berlesen telah membuat tawaran kepada pengadu untuk melangsaikan bayaran tertunggak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Fakhrudin berkata pengadu dalam keadaan terdesak dan takut telah menandatangani satu perjanjian peminjam wang untuk menyelesaikan pinjaman yang tertunggak dan pengadu perlu membayar balik sebanyak RM120,000.

“Akibat pengadu tidak mampu membayar, suspek telah menghantar orang ke rumah ibu pengadu. Pengadu telah diugut setiap hari oleh sindiket tersebut,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.