Kabinet setuju tempatkan polis di stesen minyak berisiko tinggi

Kabinet setuju tempatkan polis di stesen minyak berisiko tinggi

Menteri KPDN Armizan Mohd Ali berkata langkah itu ambil kira kekangan jentera penguat kuasa kementeriannya dalam perluas pemantauan statik demi elak ketirisan.

Menteri KPDN Armizan Mohd Ali, berkata penempatan statik penguat kuasa KPDN sudah dilaksana di 87 stesen minyak, dan akan disusuli di 70 lagi stesen yang akan melibatkan anggota polis.
PETALING JAYA:
Kabinet setuju syor menempatkan polis di stesen minyak bagi memperkasa penguatkuasaan susulan peningkatan risiko bahan api tiris akibat krisis tenaga global, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April telah mempersetujui syor itu sebagai peluasan penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan, sejak 20 Mac.

“Penguat kuasa KPDN telah ditempatkan secara berkala di stesen-stesen minyak di sekitar kawasan sempadan seluruh negara.

“Susulan daripada pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), didapati wujud keperluan memperluas liputan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi,” katanya menurut Bernama, di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, bantuan polis diperlukan memandangkan kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang di seluruh negara susulan konflik perang.

“Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak, dan akan disusuli di 70 lagi stesen dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota polis.

“Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa. Saya juga telah berbincang dengan menteri (menteri dalam negeri) untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan Rela dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata dalam menggerakkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), sepanjang Ramadan lalu, KPDN bersama rakan strategik telah melaksanakan i-FB@Bazar Ramadan 2026.

“Ikhtiar ini telah berjaya menyelamatkan sejumlah 71.3 tan lebihan makanan. Bagi negeri Sabah, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan dan telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Program ini telah dilaksanakan di 119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan 2,875 sukarelawan.

“Pencapaian itu jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam meminumkan pembaziran makanan, dan memperluas manfaat kepada komuniti yang memerlukan, sekali gus memelihara alam dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.