Tak sama, rancangan kamu dah jadi ‘toll-forever’, Najib beritahu PH

Tak sama, rancangan kamu dah jadi ‘toll-forever’, Najib beritahu PH

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dasar diwujudkan PH pada Oktober 2019 sewaktu memegang tampuk kerajaan mengenai tol berbeza dengan dasar dibuat kerajaan hari ini.

Pakatan Harapan pada 2019 merancang untuk meneruskan kutipan caj kesesakan selepas tamat tempoh konsesi.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) menuntut kredit atas langkah yang diusahakan kerajaan hari ini berhubung pengambilalihan empat konsesi tol.

Beliau berkata, dasar yang diwujudkan PH pada Oktober 2019 sewaktu memegang tampuk kerajaan berbeza dengan dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini.

“Tak sama PH, anda fikir Malaysians (rakyat Malaysia) mudah lupa? Rancangan kerajaan hari ini ialah untuk mengambil empat lebuh raya ini untuk kekalkan kadar tol tanpa kenaikan sehingga tamatnya tempoh konsesi.

Tonton video di sini.

“Rancangan kerajaan PH dahulu pula ialah untuk mengambil empat lebuh raya tersebut. Lepas itu bagi tol percuma pada tengah malam tetapi kenakan ‘caj kesesakan’ pada siang hari dengan kadar tol yang sama,” katanya di Facebook.

Berdasarkan kenyataan PH pada 26 Jun 2019 berhubung isu sama, Najib berkata, PH juga merancang untuk meneruskan kutipan caj kesesakan selepas tamat tempoh konsesi.

“Bermakna janji ‘toll-free’ PH sebenarnya telah menjadi ‘toll-forever’. Kenapa perlu ‘toll-forever’ pula?,” soalnya.

Ujarnya, bayaran tol berterusan itu terjadi kerana harga yang dicadangkan oleh PH untuk membayar empat lebuh raya tersebut adalah sekitar RM6.2 bilion dengan penganalisis menyifatkan ia nilai yang terlampau mahal.

“Iaitu terlampau mahal mengikut penganalisis, pada harga 2.7 kali ganda nilai buku dengan premium sebanyak RM2.82 bilion.

“Kenapa mahu bayar harga premium yang tinggi itu?,” soalnya lagi.

Memetik pandangan penganalisis, Najib berkata, ramai membuat spekulasi bahawa ia memberi manfaat kepada projek kroni DAP kerana pihak penjual lebuh raya didakwa berpakat untuk mendapatkan projek tambakan di selatan Pulau Pinang.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu mengumumkan kadar tol Lebuhraya KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak dinaikkan dan kekal hingga tamat tempoh konsesi.

Susulan pengumuman itu, PH hari ini membuat kenyataan bahawa langkah itu adalah hasil kesinambungan kerajaan PH pada Oktober 2019, apabila Jemaah Menterinya memutuskan untuk memulakan proses ambil alih lebuh raya berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.