
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001.
Beliau berkata, polis mengambil maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian bayi malang itu.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Negeri Sembilan dan telah dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan dalam melengkapkan siasatan.
“Polis sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang serta masa bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, holistik dan komprehensif.
Terdahulu bayi, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, dilaporkan maut selepas dikatakan terjerut leher dalam buaian ketika dalam jagaan pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan.
Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof memberitahu, bayi itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh dengan bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar dari buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
Bapa bayi itu, Yuseri Yusoff membuat satu laporan polis pada 28 Mac lalu, selepas mendapati tiada perkembangan berkait kes kematian anaknya. Peguam keluarga berkata, timbul keraguan mengapa masih belum ada pertuduhan dibuat di mahkamah selepas 37 hari berlalu.
Peguam juga mendakwa tiada perintah reman dikeluarkan walaupun kes melibatkan kematian.