
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik secara lantang mengkritik kepimpinan Akmal Nasir yang tidak berupaya menarik minat kelompok anak muda menyebabkan generasi itu lebih tertarik kepada antaranya MUDA, iaitu parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Saya berpandangan (Adam Adli) mampu memberi satu nafas baru… yang boleh melonjakkan semula minat anak-anak muda (terhadap PKR). Dalam tempoh AMK (Pemuda PKR) ini nampak lemah, lesu dan seolah-olah tersisih daripada arus gerakan pemuda kebangsaan,” katanya kepada FMT.
Tonton video di sini.
Beliau mengulas pengumuman aktivis itu yang secara rasmi akan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda PKR menentang bekas aktivis pelajar, Fahmi Zainol pada pemilihan parti Mei ini.
Najwan berkata, suka atau tidak Pemuda PKR harus mengakui bahawa pengaruh sayap itu kini seolah-olah tidak wujud dalam kalangan anak muda.
“Maksudnya bila ada MUDA, orang lebih tertari kkepada MUDA berbanding nak dekat dengan Pemuda PKR, Pemuda Pakatan Harapan. Jadi bukan satu perkara yang perlu disembunyikan, ini rahsia umum (bahawa) AMK sebelum ini adalah sayap yang lemah lesu dan tidak ada tarikan untuk kelompok anak muda,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan gesaannya agar perubahan dibuat dalam tampuk kepimpinan sayap itu berkait rapat dengan penyingkirannya sebagai ketua Pemuda Selangor sebelum ini.
“Tidak, saya tidak pernah berkecil hati dalam berpolitik dan sentiasa berjiwa besar, cuma sebagai bekas pimpinan AMK, saya konsisten menuntut AMK diperkuatkan dan diperkukuhkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Najwan berpendapat Adam Adli mampu memikul tugas mengetuai sayap Pemuda PKR dalam tempoh “kritikal” ketika ini.
“Saya lihat Adam sebagai seorang pimpinan muda yang bukan setakat boleh menggerakkan anak muda di peringkat akar umbi. Dari segi mobilisasi itu kita tak nafi Adam ada kekuatan untuk menggerakkan demonstrasi.
“… dan pada masa sama Adam ada sisi intelektual, dia boleh mengupas dan menggarap isu, melontarkan idea. Ini sebenarnya yang kita nak ada dalam saf kepimpinan Pemuda (PKR),” katanya selain menambah bahawa Adam menguasai dan memiliki kemahiran menggerakkan anak muda di peringkat bawah.