Kenaikan harga produk tenusu boleh beri kesan kedai kopi

Kenaikan harga produk tenusu boleh beri kesan kedai kopi

Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Cheah Poo Kuang berkata, selepas kenaikan harga yang sama tahun lalu, perniagaan mereka terpaksa berbuat perkara sama.

Kenaikan harga minuman popular mungkin berlaku tahun ini, susulan peningkatan kos produk tenusu sekali lagi pada tahun ini.
PETALING JAYA:
Harga produk tenusu dijangka meningkat pada 1 April ini, dengan satu lagi kenaikan dijangkakan pada Jun nanti, kata Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya.

Presiden persatuan itu, Cheah Poo Kuang berkata, beliau menerima surat daripada sebuah syarikat produk tenusu yang memaklumkan kenaikan harga barangan seperti dadih dan susu tepung skim.

“Sekotak susu tepung ketika ini berharga RM110, tetapi ia dijangka meningkat sebanyak RM10, menjadikannya RM120 mulai bulan depan,” katanya menurut laporan China Press.

Beliau berkata, sebarang kenaikan harga susu pekat dan susu sejat akan memberi kesan kepada harga minuman di kopitiam mereka.

Katanya, perniagaan terpaksa melaraskan harga pada Januari lalu, apabila kos produk tenusu meningkat dua kali tahun lalu, iaitu April dan November 2021, ditambah dengan kenaikan kos lain seperti gaji pekerja, sewa, elektrik dan gas.

Beliau menyifatkan kenaikan harga produk tenusu akan datang sebagai “tidak wajar”.

“Kami tidak mahu menaikkan harga, tetapi jika kenaikan harga berlaku lagi pada Jun, kami terpaksa melaraskan harga kami,” katanya dipetik akhbar berbahasa Cina itu.

Cheah berharap pelanggan akan memahami keputusan pemilik kedai kopi menaikkan harga kerana ia adalah pilihan terakhir memandangkan perniagaan mereka belum pulih sepenuhnya daripada impak pandemik dan kawalan pergerakan, serta inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.