
Menterinya Armizan Mohd Ali berkata pihaknya meneliti dakwaan peningkatan harga rempah ratus itu, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terlibat.
“Kita telah semak, memang ada berlaku pergerakan harga barang-barang yang dinyatakan (merupakan) perbandingan dibuat antara Okt 2023 dengan September ini. (Bagaimanapun) bukan untuk semua barang-barang yang dinyatakan tersebut.
“Trend (kenaikan harga) kebiasaan akan ada berlaku bukan hanya musim perayaan. Ada (harga barang) turun (dan) naik bersandarkan kepada faktor penawaran dan permintaan,” katanya selepas mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali.
Pada 16 Okt, PHA mendakwa wujud peningkatan harga barangan keperluan terutamanya rempah ratus hingga 250% menjelang Deepavali minggu depan.
Presidennya PHA P Murugiah, berkata pihaknya telah melakukan tinjauan di beberapa kedai runcit susulan aduan diterima dan dapati ada peningkatan harga agak membimbangkan berbanding tahun lalu.
Katanya, harga buah pelaga melonjak daripada RM40 sekilogram pada 2023 kepada RM140 sekilogram tahun ini, dan daripada 19 barangan yang dikaji, tujuh daripadanya mengalami kenaikan 100%.
Keluar notis
Dalam pada itu, Armizan berkata, pihaknya telah mengeluarkan beberapa notis terhadap peniaga terlibat menyatakan sebab utama menaikkan harga barang berkaitan.
Beliau juga tidak menolak sekiranya berlaku aktiviti pencatutan, KPDN akan mengambil tindakan tegas.
Sementara itu, Armizan berkata sempena Deepavali, KPDN melaksanakan SHMMP terhadap lapan jenis barangan dan antara terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import.
Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 itu dilaksanakan tujuh hari bermula 28 Okt hingga 3 Nov.
Antara barangan lain tersenarai adalah tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India) termasuk ros, bawang merah besar import, dan kacang dal (Australia).
Harga gula bertapis kekal
Dalam perkembangan lain, Armizan menasihatkan tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang, susulan pengumuman kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Jan 2025.
Beliau berkata, harga gula bertapis putih masih kekal dan tiada alasan menaikkan harga barangan tidak berkait.
Dalam Belanjawan 2025 pada 18 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan perang terhadap gula dengan menaikkan kadar duti eksais.