Bersara awal impian, bersara di usia lanjut realiti, kata pakar ekonomi

Bersara awal impian, bersara di usia lanjut realiti, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi berkata kekurangan simpanan dan kenaikan harga menyebabkan ramai rakyat Malaysia sukar bersara secara berperingkat.

Asian eldery couple finances
Perancang kewangan menasihatkan pesara mempunyai simpanan cukup untuk bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun dan bebas daripada liabiliti utama. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi berkata, kenaikan harga dan kekurangan simpanan akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia sukar bersara secara berperingkat kerana mereka dijangka perlu bekerja lebih lama daripada dirancang.

Juita Mohamad yang bersama agensi perdagangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, seorang daripada empat ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka kehabisan simpanan dalam tempoh lima tahun selepas bersara pada usia 60 tahun.

“Persaraan awal adalah impian bagi kebanyakan orang, tetapi melihat jurang dalam simpanan, tekanan inflasi dan kenaikan harga pada masa depan, semakin ramai yang perlu bersara pada usia lebih lanjut,” katanya kepada FMT.

Kadar inflasi Malaysia ialah 1.8% tahun lalu dan diunjurkan meningkat antara 2% dan 2.5% disebabkan rasionalisasi subsidi, pengembangan skop cukai jualan dan perkhidmatan serta faktor lain.

Pada 2023, kos sara hidup tertinggi dilaporkan di Putrajaya (4.6%), diikuti Perlis (3.9%), Johor (3.5%), Melaka dan Kuala Lumpur (3.3%) serta Selangor (3.2%).

Perancang kewangan bertauliah, Jarvic Lau, berkata pesara memerlukan simpanan mencukupi untuk bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun dan bebas daripada hutang besar seperti pinjaman perumahan serta kereta.

“Jika ahli KWSP mempunyai baki RM2.1 juta pada usia 40 tahun, mereka secara teori boleh bersara awal, dengan syarat perbelanjaan kekal RM5,000 sebulan.

“Tetapi, mereka yang bersara pada usia 55 tahun dan hanya mempunyai simpanan KWSP sebanyak RM1 juta perlu hidup dengan RM4,167 sebulan.”

Lau berkata, KWSP mencadangkan RM650,000 sebagai tahap simpanan minimum yang membolehkan pengeluaran bulanan RM2,708 pada tahun pertama dan meningkat kepada RM7,389 pada tahun ke-20.

Idea skim persaraan fleksibel yang dicadangkan felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Calvin Cheng, baru-baru ini menggesa penggubal dasar menyemak semula dasar persaraan negara.

Seorang lagi pakar ekonomi, Geoffrey Williams, berkata skim persaraan fleksibel boleh memanfaatkan individu dan ekonomi, jika diuruskan dengan baik.

“Persaraan fleksibel membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, tetapi turut membebaskan golongan tua daripada pekerjaan sepenuh masa, membolehkan mereka melakukan perkara lain – contohnya membuka perniagaan sendiri.”

Beliau berkata, persaraan fleksibel boleh digunakan dalam semua industri, tetapi halangan sebenar ialah tentangan majikan.

“Skim persaraan awal, fleksibel serta berperingkat perlu digalakkan dan boleh dilaksanakan di Malaysia jika terdapat infrastruktur untuk menukar usia persaraan serta peraturan pengeluaran dana pencen.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.