Jualan bufet Ramadan merosot, kata kumpulan hotel

Jualan bufet Ramadan merosot, kata kumpulan hotel

Persatuan Hotel Malaysia menyifatkan kemerosotan permintaan akibat kenaikan harga dan rakyat Malaysia lebih berhemat.

Seorang pengusaha hotel berkata, jualan bufet Ramadan di hotel Pulau Pinang merosot 30%.
PETALING JAYA:
Bufet Ramadan di hotel seluruh negara mengalami penurunan permintaan berbanding tahun sebelumnya, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Kenaikan harga 10% hingga 20% mungkin antara faktornya, kata Isaac Raj, ketua pegawai eksekutif MAH sambil menambah hampir semua pengusaha hotel menaikkan sedikit harga mereka bagi menampung peningkatan kos operasi.

Walaupun makanan dan minuman dikecualikan kenaikan cukai perkhidmatan mulai 1 Mac lalu, tetapi kenaikan 2% itu secara tidak langsung menjejaskan komponen lain seperti kos barangan dan logistik.

Kos operasi turut terjejas dengan kos barangan import lebih tinggi dan kenaikan tarif elektrik pada tahun lalu.

“Disebabkan semua orang berbelanja lebih konservatif, kami nampak penurunan ketara dalam permintaan untuk bufet Ramadan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada FMT yang enggan mendedahkan jumlah jualan.

Dennis Samford, pengurus besar Shah’s Beach Resort berkata, resort itu mempunyai 10 hingga 20 pengunjung setiap hari sepanjang Ramadan dan kurang daripada lima tempahan berkumpulan dengan lebih 30 tetamu.

Sebelum pandemik Covid-19, katanya, resort itu mempunyai sekurang-kurangnya 20 hingga 30 pengunjung untuk bufet Ramadannya sepanjang bulan.

“Ada tempahan berterusan untuk kumpulan besar juga.”

Tony Goh, pengerusi MAH Pulau Pinang, berkata jualan bufet Ramadan di hotel negeri itu merosot sebanyak 30%.

Secara purata, katanya, hotel di Pulau Pinang menaikkan harga bufet Ramadan sekitar RM10 seorang.

Tetapi, Riyaz Hotels and Resorts nampaknya tidak terjejas kerana Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Lip Seng berkata, jualan bufet Ramadan meningkat 10% hingga 15% kerana mereka tidak menaikkan harga dan rakyat Malaysia lebih berhemat dalam perbelanjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.