Catatan media sosial lebih efektif berbanding laporan polis, kata Ahli Parlimen

Catatan media sosial lebih efektif berbanding laporan polis, kata Ahli Parlimen

Charles Santiago berkata, kecenderungan warganet menularkan isu di media sosial bertujuan mendapatkan maklum balas pantas daripada pihak berkuasa.

Charles Santiago berkata, warganet percaya pihak berkuasa lambat bertindak balas terhadap aduan awam.
PETALING JAYA:
Warganet Malaysia lebih cenderung menularkan sebarang isu di media sosial kerana mereka percaya cara itu lebih efektif daripada membuat laporan polis, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pengguna media sosial juga percaya pihak berkuasa lambat bertindak balas terhadap aduan awam.

Beliau mengulas kebimbangan disuarakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad hari ini mengenai warganet cenderung mengaibkan individu lain di media sosial berbanding membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Azri berkata, mereka sepatutnya menggunakan saluran betul dan fenomena itu menjadikan warganet “hakim” tanpa kesahihan fakta sebenar.

Charles turut mengkritik JIPS berhubung caranya menangani kematian dalam tahanan, yang menurutnya menghakis kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis.

“Ada banyak tuntutan di media sosial untuk inkues diadakan berhubung kematian dalam tahanan.

“Sehingga kini, 13 orang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis tahun ini sahaja, namun tidak disebut inkues akan dijalankan.

“JIPS hanya melaporkan seseorang meninggal dunia di balai polis tertentu dan dia ditahan atas kesalahan dadah serta sebagainya. Ini langsung tidak mewujudkan keyakinan dalam kalangan mereka yang mendapatkan maklumat dari media sosial.”

Charles menggesa JIPS memaklumkan orang ramai berhubung inkues yang dijalankan ke atas kes kematian dalam tahanan demi mengembalikan keyakinan rakyat semula.

Pada 23 Mac lalu, FMT melaporkan kematian dalam tahanan ke-13 yang berlaku di Pulau Pinang membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang ditahan atas dakwaan kesalahan dadah.

Mengulas lanjut, Charles berkata, warganet tidak menaruh kepercayaan kepada media arus perdana dan pihak berkuasa kerana apa yang disiarkan mereka “kebanyakannya propaganda”.

Aktivis Rama Ramanathan daripada Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) berkata, tindakan warganet akibat penolakan polis terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada 2005 dan sebaliknya menyokong Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

RUU IPCC disifatkan kumpulan masyarakat sivil sebagai tidak berkesan dalam memastikan polis bertanggungjawab ke atas sebarang salah laku.

“Pada pandangan orang ramai, bantahan polis terhadap IPCMC dan menyokong penuh IPCC menunjukkan mereka buta dan tidak kompeten.

“Polis perlu sedar kerosakan teruk yang mereka lakukan kerana gagal mengambil serius dapatan SUHAKAM berhubung kegagalan siasatan dalam kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh,” katanya kepada FMT merujuk beberapa kes kehilangan paksa beberapa individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.