Eksport ketum boleh beri manfaat pekebun kecil RISDA, kata Mahdzir

Eksport ketum boleh beri manfaat pekebun kecil RISDA, kata Mahdzir

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, banyak kajian telah dilakukan mengenai manfaat daun ketum untuk perubatan.

Mahdzir Khalid berkata, jika eksport ketum dibenarkan, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu. (Gambar Bernama)
KUALA NERANG:
Pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mungkin boleh mendapat manfaat, sekiranya kerajaan persekutuan membenarkan daun ketum dieksport ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.

“Kalau sudah sah dan boleh ada pendapatan kenapa tidak? Kalau jual 1kg daun ketum boleh dapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia pulak sah, jadi saya fikir tak menjadi kesalahan,” katanya selepas menghadiri program RISDA Prihatin Pekebun Kecil Makmur 2022 Padang Terap, di sini.

Beliau diminta mengulas cadangan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum, khususnya ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Mahdzir berkata, kerajaan persekutuan perlu membuat keputusan mengenai status ketum memandangkan sudah banyak kajian dilakukan mengenai manfaat daunnya untuk perubatan.

“Tapi, perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya, saya fikir sampai masanya nanti, kita tengok bagaimana keputusan kerajaan,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 552,000 pekebun kecil RISDA di seluruh negara dengan keluasan tanaman getah 1.1 juta hektar.

Mengenai program RISDA Prihatin, Mahdzir berkata, 330 pelajar sekolah melibatkan anak pekebun kecil getah di daerah ini menerima bantuan persekolahan membabitkan peruntukan RM66,000.

“RISDA membantu sedaya upaya mungkin dalam meringankan beban masyarakat pekebun kecil dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.