Hutang isi rumah didorong pinjaman kenderaan, perumahan, kata Kementerian Kewangan

Hutang isi rumah didorong pinjaman kenderaan, perumahan, kata Kementerian Kewangan

Kerajaan sedar terdapat segmen peminjam isi rumah yang terus menghadapi kesukaran kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Pertumbuhan hutang didorong pinjaman kenderaan dan perumahan susulan insentif Cukai Jualan dan Perkhidmatan dan pelbagai insentif pemilikan rumah ditawarkan pihak kerajaan dan swasta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan berkata nisbah hutang isi rumah kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 89%.

Dalam jawapan bertulis kepada Chow Kon Yeow (PH- Tanjong), kementerian itu berkata, pertumbuhan hutang terbabit didorong pinjaman kenderaan dan perumahan susulan insentif Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pelbagai insentif pemilikan rumah ditawarkan pihak kerajaan dan swasta.

Pengecualian SST terhadap kenderaan penumpang dilanjutkan hingga Jun tahun ini. Selain itu, Kempen Pemilikan Rumah yang berakhir pada 31 Disember lalu, memberi penjimatan duti setem dan pengecualian cukai yang ditawarkan menerusi pinjaman perumahan.

Kementerian berkata, kerajaan sedar terdapat segmen peminjam isi rumah yang terus menghadapi kesukaran kewangan berikutan pandemik Covid-19, khususnya susulan daripada sekatan pergerakan sebelum ini dan ketidaktentuan ekonomi yang masih berlarutan.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah mengambil langkah bagi mengurangkan tekanan kewangan ke atas peminjam isi rumah serta menjamin kemampuan pembayaran hutang jangka panjang mereka.

Nisbah hutang isi rumah 89% kepada KDNK pada penghujung 2021 adalah penurunan sebanyak 4.2%, pada penghujung 2020, iaitu pada 93.2%. Peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir 2017 adalah 82.6%, manakala peratusan bagi 2018 adalah 82% dan 2019 adalah 82.7%.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah menasihatkan peminjam yang berdepan kesulitan merancang kewangan supaya mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.